- Iklan -
Berita

Penumpang AirAsia X masih tunggu bayaran balik berjumlah hampir RM20,000

Tan Wan Kiong berkata proses bayaran balik itu perlu dilakukan dan tidak sepatutunya dijejaskan oleh penstrukturan semula hutang syarikat penerbangan itu.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pesawat AirAsia menunggu penumpang masuk di KLIA, Sepang.
Pesawat AirAsia menunggu penumpang masuk di KLIA, Sepang.

Seorang penumpang AirAsia X hilang kata-kata apabila dia masih menunggu bayaran balik 12 tiket penerbangan berjumlah RM19,771 yang dibatalkan pada Mei 2020.

Tan Wan Kiong berkata, semua tiket penerbangan yang dijadual berlepas pada Mei 2020 itu ditempah pada September 2019 apabila dia dan 11 lagi rakannya merancang untuk bercuti ke Lanzhou, China dan beberapa destinasi lain.

Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dibatalkan apabila sekatan pergerakan dilaksanakan susulan penularan Covid-19.

Menurut Tan, dia kemudian ditawarkan pilihan bayaran balik sama ada dalam bentuk kredit atau wang tunai dan dia memilih wang tunai.

"Untuk memudahkan urusan, saya yang bayarkan semua tiket penerbangan bagi pihak kawan-kawan dan kemudian mereka akan membayar semula kepada saya," katanya kepada MalaysiaNow.

"Tetapi sehingga hari ini masih tiada apa-apa. Saya tidak menerima sebarang bayaran balik termasuk dalam bentuk kredit."

Mengulas lanjut, Tan berkata, usaha mendapatkan balik duitnya mula dilaksanakan sejak syarikat penerbangan itu membatalkan penerbangannya pada 2020, namun ia seperti sia-sia apabila usahanya itu masih tidak mendatangkan hasil sehingga ke hari ini.

Malah, Tan menegaskan dia tetap memilih bayaran balik dalam bentuk wang tunai kerana tahu bahawa tiada guna untuk kredit memandangkan banyak negara menutup sempadan antarabangsa masing-masing ketika itu, menyebabkan dia tidak boleh mengembara untuk satu tempoh masa yang lama.

"Semua dokumen saya serahkan seperti yang diminta, berbulan saya tunggu, malah saya juga ada singgah ke kaunter AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Pekerja di kaunter itu berkata saya akan terima bayaran balik dalam tempoh dua hingga tiga minggu tetapi ia terbukti tidak benar.

"Kali kedua saya ke kaunter itu, saya dimaklumkan bahawa mereka tidak dapat bantu selesaikan masalah saya," katanya.

Menceritakan pengalamannya terbang bersama AirAsia, Tan mendedahkan ini bukan kali pertama dia memohon semula bayaran balik tiket penerbangan yang dibelinya.

Tan berkata, pada 2017, penerbangannya dibatalkan dan dia menerima bayaran balik serta-merta, sekali gus memberikan keyakinan untuk meletakkan kepercayaan terhadap syarikat penerbangan itu sekiranya berlaku pembatalan lagi.

Mengimbas kembali, Tan menyifatkan dirinya sebagai pelanggan setia AirAsia X apabila sudah terbang bersama syarikat penerbangan itu lebih 10 tahun lalu dan sentiasa tempah penerbangan setiap bulan.

"Sudah tentu, situasi ini membuatkan saya dan kawan-kawan berasa amat kecewa dengan AirAsia, tetapi memandangkan saya yang tempah tiket tersebut, maka saya yang akan uruskan kes ini," katanya.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan ramai dalam kalangan penumpang AirAsia X tidak berpuas hati dengan jawapan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail yang menyatakan syarikat penerbangan itu tidak boleh memberi bayaran balik dalam bentuk wang tunai disebabkan undang-undang memandangkan syarikat itu melalui proses penstrukturan hutang di mahkamah.

Tan merupakan antara individu yang "bingung" dengang kenyataan itu dan dia menegaskan permohonan bayaran balik olehnya sepatutnya tidak mendatangkan sebarang isu memandangkan dia mulakan proses itu pada 2020 - sebelum syarikat ini melalui proses penstrukturan semula hutang.

Sementara itu, pemerhatian MalaysiaNow terhadap gerakan mengumpul petisyen dalam kalangan penumpang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia sehingga 12 tengah hari pada Isnin berjaya mengumpulkan lebih 10,000 tandatangan.

Petisyen di laman sesawang change.org bertajuk “AirAsia class action lawsuit for losses due to cancellations and changes of flights”, dilancarkan sejak sebulan lalu dan menarik perhatian ramai.

Menurut individu yang memulakan petisyen tersebut, ia merupakan usaha mengumpul penumpang-penumpang AirAsia yang terjejas dan melaksanakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula ganti rugi.

MalaysiaNow bagaimanapun sedang cuba mendapatkan maklum balas penganjur petisyen itu untuk mengulas lanjut mengenai langkah seterusnya sebaik ia mencapai sasaran 15,000 tanda tangan.

Selain itu, MalaysiaNow juga sedang menunggu maklum balas daripada AirAsia X berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Benyamin berhubung proses bayaran balik sebelum ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.