- Iklan -
Berita

RUU anti lompat parti dimuktamad, akan dibentang di Parlimen 18 Julai

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen sudah mencadangkan RUU itu dibahas di Dewan Rakyat pada 27 dan 28 Julai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
RUU yang digubal bagi menghalang ahli Parlimen bertukar parti akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai. Gambar: Bernama
RUU yang digubal bagi menghalang ahli Parlimen bertukar parti akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai. Gambar: Bernama

Draf Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dimuktamadkan hari ini dan dijangka dibentang di Dewan Rakyat, 18 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata rang undang-undang berkenaan dicadang untuk dibahaskan pada 27 dan 28 Julai, tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

"Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti serta penyata (laporan) daripada jawatankuasa pilihan khas tersebut akan dibentangkan atau diletakkan di atas meja ahli Dewan Rakyat di Parlimen pada 18 Julai 2022.

"Penyata dan pindaan perlembagaan itu akan dijadikan rujukan kepada semua Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bil. 6 2022 hari ini.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat juga mencadangkan garis masa libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama ahli Dewan Rakyat kerajaan diadakan 25 Julai dan libat urus bersama ahli Dewan Rakyat pembangkang, pada 26 Julai.

"Garis masa itu juga mencadangkan agar sesi libat urus bersama ahli Dewan Negara diadakan pada 8 Ogos 2022 dan bacaan kali pertama di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022, diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos 2022," katanya.

Wan Junaidi berkata setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang berkenaan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di antara 11 hingga 26 Ogos untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka dilaksanakan antara 29 Ogos hingga 2 Sept ini.