- Iklan -
Berita

2 kementerian akan bincang segera berhubung pembekuan tenaga kerja Indonesia

Perbincangan antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri akan mencari penyelesaian isu berkait pekerja dari negara jiran itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Sumber Manusia berkata perbincangan segera akan diadakan bagi menangani isu kemasukan pekerja asing dari Indonesia.
Kementerian Sumber Manusia berkata perbincangan segera akan diadakan bagi menangani isu kemasukan pekerja asing dari Indonesia.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri berhubung keputusan Indonesia untuk menghentikan kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia buat sementara waktu.

KSM dalam sebuah kenyataan berkata perbincangan itu akan diadakan dengan segera bagi menangani isu-isu berkaitan kemasukan pekerja dari negara jiran berkenaan, termasuk berhubung kemasukan pekhidmat domestik Indonesia.

Duta Indonesia ke Malaysia Hermono sebelum ini dilaporkan telah mengesahkan satu surat rasmi berhubung keputusan itu telah diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan, Selasa lepas.

Hermono dilaporkan sebagai berkata keputusan itu adalah susulan terdapat dakwaan berlakunya pelanggaran syarat perjanjian berkaitan pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik yang dimeterai kedua-dua negara itu.