- Iklan -
Berita

Ismail akan diangkat sebagai presiden Umno jika pemilihan diadakan, kata Nazri Aziz

Pemimpin veteran Umno itu berkata jika Zahid terus menjadi presiden keadaan tidak akan berubah kerana beliau tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz.

Pemimpin veteran Umno Mohamed Nazri Aziz percaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan diangkat sebagai presiden parti itu sekiranya pemilihan parti berlangsung pada penghujung tahun ini. 

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan lipatan sejarah Umno menyaksikan mana-mana individu yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri kemudiaannya akan disokong menjadi timbalan presiden pada pemilihan parti. 

Dan kini, katanya, Ismail bukannya pada jawatan timbalan perdana menteri sebaliknya seorang perdana menteri. 

"Secara logiknya, jika kita ada pemilihan parti tahun ini. Dia sepatutnya menjadi presiden parti.

“Maksud saya presiden parti tidak semestinya menjadi perdana menteri dalam keadaan sekarang kerana kita perlu mendapat sokongan daripada gabungan kita.

"Contohnya seperti Zahid hari ini. Dia presiden. Kenapa dia bukan perdana menteri? Atas sebab yang jelas, dia ada kes di mahkamah," katanya dalam satu forum bersama Institut Yusof Ishak di Singapura hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media sama ada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi boleh dikalahkan sekiranya pemilihan parti itu diadakan dalam masa terdekat. 

Sebelum ini, beberapa ahli Umno mendesak parti itu mempercepatkan proses pemilihan parti bukannya menuntut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Langkah mempercepatkan PRU15 dilihat penganalisis sebagai langkah untuk menyelamatkan beberapa pemimpin Umno yang terpalit kes rasuah di mahkamah seperti Zahid dan Najib Razak.

Menurut Nazri, sekiranya Umno masih memilih Zahid sebagai presiden sekiranya pemilihan diadakan, keadaan tidak akan berubah kerana beliau tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri. 

Jun lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan parti itu menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

Sebulan sebelum itu, Umno meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU15.

Mengulas lanjut, kata Nazri apa yang difahami melalui pindaan tersebut bermakna parti perlu memilih presiden dan delegasi yang baru, bukannya menambah tempoh 18 bulan kepada jawatan presiden yang disandang oleh Zahid. 

Ketika ditanya apakah akan berlaku sekiranya pemilihan Umno masih berpihak kepada pemimpin-pemimpin kluster mahkamah, Nazri menegaskan ianya terpulang kepada undi rahsia yang diberikan oleh para perwakilan. 

Katanya, ahli-ahli Umno jarang sekali untuk bersuara tetapi mereka akan me gunakan saluran undi yang rahsia sebagai tempat untuk menunjukkan suara hati masing-masing terhadap kepimpinan parti. 

"Mereka tidak suka bersuara. Apabila undi adalah rahsia, saya fikir mereka akan melakukan perkara yang betul. 

"Mereka tidak perlu berkata apa-apa. Mereka hanya mengundi. Itu sahaja." 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.