- Iklan -
Berita

Debat diskriminasi kaum tercetus kembali ketika Singapura sasar hukum mati seorang lagi banduan

Nazeri Lajim merupakan salah seorang dari 17 banduan bilik akhir di Singapura yang memfailkan saman terhadap kerajaan, mendakwa wujud diskriminasi kaum dalam pendakwaan mereka di mahkamah.

Our Regional Correspondent
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar menunjukkan Nazeri Lajim pada usia 30-an (kiri), 40-an (tengah) dan gambar terbarunya (kanan). Gambar: Transformative Justice Collective
Gambar menunjukkan Nazeri Lajim pada usia 30-an (kiri), 40-an (tengah) dan gambar terbarunya (kanan). Gambar: Transformative Justice Collective

Singapura menetapkan pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang lagi lelaki Melayu tempatan yang disabitkan kesalahan dadah, langkah yang bakal mencetuskan debat berhubung bilangan tidak seimbang banduan etnik minoriti itu yang dihukum gantung sampai mati selain kecaman yang kian meningkat terhadap undang-undang kejam berkait kesalahan dadah.

Pihak berkuasa penjara Singapura memaklumkan kepada keluarga Nazeri Lajim, 64, bahawa pelaksanaan hukuman matinya akan dijalankan pada 22 Julai atau Jumaat depan, mengenepikan rayuan ahli keluarganya yang memohon supaya pengampunan presiden diberikan sebagai usaha terakhir menyelamatkan nyawanya. 

Nazeri merupakan salah seorang dari 17 banduan bilik akhir yang memfailkan saman terhadap kerajaan Singapura, mendakwa wujud diskriminasi kaum dalam pendakwaan di mahkamah berdasarkan etnik Melayu mereka.

Saman itu ditolak akhir tahun lalu selepas hakim menyifatkan saman tersebut sebagai salah guna proses mahkamah. 

Peguam negara Singapura juga turut mendakwa dua peguam yang mewakili mereka di mahkamah, di mana mereka diperintah membayar kos kerana memfailkan saman "tanpa persetujuan".

Pemakluman berhubung pelaksanaan hukuman mati Nazeri dibuat seminggu selepas warga Malaysia, Kalwant Singh dan seorang lagi warga Singapura Norasharee Gous dihukum gantung walaupun terdapat rayuan serupa mengenai hukum bunuh itu daripada aktivis dan peguam hak asasi manusia.

Kerajaan Singapura diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) tetap mempertahankan undang-undang di negara itu yang memperuntukkan hukuman mati sejak beberapa bulan kebelakangan ini walaupun negara jirannya, Malaysia mengumumkan keputusan akan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi pesalah berkait kes dadah.

Nazeri adalah anak daripada pasangan Melayu dari sebelah ibunya sementara bapanya adalah seorang Inggeris yang berkhidmat dengan tentera Britain.

Berasal daripada keluarga miskin di mana dia cuba keluar daripada keadaan hidup daif namun akhirnya terjebak dengan ketagihan dadah.

"Kami adalah keluarga yang sangat-sangat miskin pada masa itu. Kami bergelut dengan keadaan itu, keluarga saya bekerja keras,”kata Nazira yang merupakan adik perempuannya dalam sebuah wawancara diterbitkan NGO anti hukuman mati Transformative Justice Collective.

“Untuk pengetahuan, (pada waktu itu) kami seperti orang yang tidak tentu hala tuju. Ibu saya tiada masa (untuk didik kami) kerana ibu saya bekerja keras. Kemudian keluarga kami hancur," kata Nazira mengenai nasib keluarganya selepas kematian bapanya.

Nazeri dihukum gantung sampai mati pada 2017, lima tahun selepas ditangkap ketika operasi anti narkotik dijalankan pihak berkuasa, di mana dia ditahan ketika baru sahaja menerima dua bungkusan mengandungi heroin daripada seorang individu bernama Dominic Fernandez, menurut dokumen mahkamah yang dilihat MalaysiaNow.

Nazeri berkata jumlah dadah yang dihantar kepadanya adalah satu kesilapan.

"Saya mahu pulangkan semula bungkusan kedua dalam simpanan saya kerana saya yakin ia adalah satu kesilapan di pihak pembekal dadah. 

“Saya sedar hukuman keras yang boleh dikenakan terhadap saya oleh pihak berkuasa Singapura berhubung dadah diamorfin dan saya tidak akan cuba untuk menyimpan kuantiti yang banyak kerana takut hukuman gantung," katanya dalam afidavit yang difailkan bagi pembukaan semula kesnya.

Peguam terkenal M Ravi yang cuba membuka semula kesnya pada 2020 dengan sokongan penjelasan perubatan, menegaskan dadah yang ditemui dalam simpanan Nazeri adalah untuk kegunaan peribadi.

"Nazeri mengalami ketagihan dadah yang merupakan satu penyakit. Malah hakim perbicaraan turut bersedia untuk menerima kenyataan bahawa Nazeri menggunakan lima paket heroin setiap hari untuk kegunaan peribadinya," kata Ravi dalam maklum balasnya mengenai pemakluman jadual pelaksanaan hukuman mati terhadap Nazeri.

“Tidak masuk akal untuk bunuh seseorang yang sakit dan mengalami masalah penagihan dadah yang serius.

“Orang sakit perlu dirawat, bukan bunuh. Sekali lagi seorang dari golongan rentan yang berasal daripada etnik minoriti bakal digantung sampai mati."