- Iklan -
Berita

Perkeso gantung RM423 juta bayaran dana insentif PenjanaKerjaya

Ketua eksekutif Perkeso menggesa majikan yang menyalah guna dana atau mengemukakan permohonan tanpa mengikut syarat membayar balik dana itu sebelum tindakan diambil.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed. Gambar: Bernama
Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed. Gambar: Bernama

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menggantung bayaran Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sebanyak RM423 juta susulan terdapat penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.

Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata tindakan penggantungan bayaran dibuat berdasarkan analisis data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti (AEFI) agensi itu.

Katanya siasatan berhubung kes tuntutan palsu PenjanaKerjaya itu dibuat melalui Ops Hire, yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula Rabu lepas, setelah pemantauan dan risikan sejak Mei mendapati ada majikan mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana PenjanaKerjaya.

“Perkeso amat menekankan nilai integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan kerajaan kerana ia melibatkan dana awam.

"Perkeso mengingatkan para majikan supaya jujur dan dan berintegriti dalam mengemukakan permohonan untuk apa-apa program bantuan kerajaan termasuk PenjanaKerjaya yang dilaksanakan oleh agensi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata majikan yang telah menyalah guna dana program berkenaan atau telah mengemukakan permohonan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan, diminta membuat bayaran balik secara sukarela atau berhubung dengan pihaknya sebelum sebarang tindakan diambil.

"Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut memaklumkan Perkeso telah membuat bayaran sebanyak RM2.34 bilion kepada 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan melalui PenjanaKerjaya sehingga kini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.