- Iklan -
Berita

Tiada kes cacar monyet dalam kalangan jemaah haji, kata Khairy

Menurut menteri kesihatan itu jemaah haji berada dalam keadaan baik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jemaah haji di Tanah Suci berada dalam keadaan baik dan tiada kes jangkitan cacar monyet dicatatkan. Gambar: Facebook Tabung Haji
Jemaah haji di Tanah Suci berada dalam keadaan baik dan tiada kes jangkitan cacar monyet dicatatkan. Gambar: Facebook Tabung Haji

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia di Arab Saudi dijangkiti cacar monyet setakat ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel Transformasi Strategi Dan Memperkasa Penjagaan Autisme hari ini, beliau berkata setakat pengetahuan pihak Kementerian Kesihatan (KKM), jemaah haji Malaysia di Tanah Suci berada dalam keadaan baik.

Mengenai kes cacar monyet di Singapura, katanya maklumat yang diterima KKM mendapati terdapat tiga kes jangkitan tempatan penyakit berkenaan dikesan di negara jiran itu dengan satu daripadanya  ada sejarah perjalanan ke Malaysia.

Sementara itu, mengulas pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19, Khairy berkata buat masa ini ia cuma disyorkan kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan individu yang mempunyai masalah penyakit kronik atau komorbid berusia 18 tahun ke atas.

Mengenai terdapat mereka yang berumur di bawah 60 tahun datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mendapatkan dos penggalak kedua menggunakan alasan ingin mengembara ke luar negara, beliau berkata tidak ada keperluan untuk mereka berbuat demikian.

“Pandangan TWG (kumpulan kerja teknikal) adalah buat masa ini tiada keperluan untuk mereka yang berusia 60 tahun ke bawah yang sihat menerima dos kedua, tetapi KKM tidak menghalang sekiranya mereka mengaku hendak mengembara ke luar negara,” katanya.

Berhubung hampir tujuh juta rakyat dewasa Malaysia belum terima dos penggalak pula, beliau menasihatkan mereka supaya berbuat demikian bagi mengurangkan kesan serius jangkitan Covid-19 termasuk kematian.

“Bagi golongan dewasa dan belum dapat dos penggalak pertama, saya merayu dan galakkan anda menerima dos penggalak kerana kita berdepan dengan gelombang BA.5 sekarang,” katanya.

Mengenai pengambilan ubat anti viral Paxlovid, Khairy berkata mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai gejala ringan ataupun kategori 2 dan 3 boleh mengambil ubat itu tetapi masih perlukan penilaian doktor.

“Jika berusia 60 tahun ke atas dan pakar perubatan keluarga buat penilaian dan layak terima, mereka akan terima Paxlovid. Senarai fasiliti kesihatan yang membekalkannya boleh didapati di covid-19.moh.gov.my,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.