- Iklan -
Berita

Apakah terdapat budaya penyelenggaraan di Malaysia?

Baik stadium sukan mahupun tandas awam, kebanyakan kemudahan awam dalam negara sering tidak diselenggarakan dengan baik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Keadaan bumbung Stadium Shah Alam yang lompong dan kemudahan rosak menyebabkan ia tidak lagi boleh digunakan.
Keadaan bumbung Stadium Shah Alam yang lompong dan kemudahan rosak menyebabkan ia tidak lagi boleh digunakan.

Stadium Shah Alam adalah satu tempat yang tidak asing bagi peminat dan penyokong “The Red Giants” di mana mereka akan berpusu-pusu memenuhi stadium untuk menyaksikan pasukan bola sepak Selangor itu beraksi di padang.

Dibuka pada 1994, ia turut menjadi stadium acara Sukan Komanwel pada 1998 selain menjadi hos bagi perlawanan antarabangsa dan konsert mega.

Bagaimanapun stadium ikonik di Seksyen 13, Shah Alam itu kini bertukar menjadi satu pandangan yang menyakitkan mata apabila ia terbiar tidak diselenggarakan sejak sekian lama. 

Dari jauh, bumbung polikarbonat yang unik itu jelas kelihatan tidak terurus dan berlompong. 

Isu lain termasuklah masalah pendawaian elektrik yang mencacatkan lagi kemudahan tersebut.  

Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan stadium itu akan dibangunkan semula dengan kos hampir RM790 juta. 

Menurutnya, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dilantik untuk menjalankan projek pembangunan semula stadium itu selepas sebelumnya diurus oleh Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI).

Selain masalah stadium, beberapa fasiliti dan kemudahan lain turut menjadi pertikaian orang ramai apabila ia kerap rosak. 

Antaranya lif dan eskalator di stesen pengangkutan awam. 

Dalam satu kes hujung bulan lalu, seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) terpaksa diusung oleh polis bantuan di Stesen KTM Seremban kerana tidak dapat menggunakan lif. 

Lif tersebut dibaiki selepas kejadian tersebut tular.

Selain itu, mereka yang kerap menggunakan tandas awam dan stesen bas pastinya boleh menyaksikan sendiri keadaan fasiliti itu yang tidak diselenggara dengan baik di sesetengah tempat.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai budaya selenggara di negara ini.

Menceritakan pengalamannya di peringkat kerajaan tempatan, bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Mak Khuin Weng berkata, antara punca mengapa Malaysia mempunyai budaya selenggara yang buruk ialah kerana tiadanya sistem inventori yang berkesan untuk menyenaraikan perkara yang perlu diselenggara. 

"Kali terakhir, saya berhujah dengan Alam Flora mengenai kerja-kerja membersih longkang, yang mana menurut kontrak mereka, sepatutnya dilakukan dua kali sebulan,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Bagaimanapun, ia tidak dilakukan kerana walaupun kontrak untuk perkara yang sudah dibayar oleh MBPJ dikeluarkan, perkhidmatan tersebut bersifat ad hoc kerana MBPJ sendiri tidak mempunyai senarai induk semua longkang di Petaling Jaya.”

Dari perspektif industri, Pengarah GFM Services, Zainal Amir berkata, ia berpunca daripada rekaan kebanyakan fasiliti itu sendiri yang menyukarkan usaha penyelenggaraan. 

"Bahan, komponen peralatan binaan, bahagian dan lain-lain perkara dalam spesifikasi reka bentuk selalunya tidak sesuai untuk jenis persekitaran dan penggunaan fasiliti tersebut. 

"Pakar dalam bidang pengurusan penyelenggaraan juga selalunya tidak dirujuk semasa peringkat reka bentuk reka bentuk fasiliti," katanya.

Syarikat tersebut mempunyai kepakaran dalam perkhidmatan pengurusan fasiliti dalam negara. 

Menurut Zainal, pelan pengurusan penyelenggaraan juga tidak dibuat dengan baik. 

Ia tidak menepati amalan terbaik terkini dalam industri, selain tidak mengendahkan jangka hayat fasiliti. 

"Peruntukan bajet tidak berdasarkan kayu ukur yang baik dan data yang dianalisis dengan baik.

"Analisis pengurusan risiko juga tidak dilaksanakan untuk menentukan mitigasi kegagalan yang sudah dijangka dalam operasi fasiiti," tambahnya. 

Mak turut bersetuju mengenai aspek bajet. 

Kerajaan tidak mempunyai budaya mencari dana untuk mengekalkan infrastruktur dalam keadaan yang baik.

Ia berbeza dengan pihak swasta yang mampu melaksanakan aktiviti pemasaran dan mencari dana, kerana pihak swasta dimotivasikan oleh keuntungan. 

"Kerajaan hanya mengutip wang dan cukai. Mereka hanya menerima wang dan mungkin mereka 'sakit kepala' memikirkan bagaimana membelanjakan wang yang diterima.

"Anda mungkin terkejut mereka hanya peruntukkan jumlah minimum, contohnya menggajikan pekerja pembersihan sahaja." 

Sementara itu, Zainal turut menyenaraikan faktor proses pemilihan kontraktor yang tidak efisyen untuk fasiliti awam dan kesedaran masyarakat umum terhadap budaya selenggara. 

Bagi soal kontraktor, katanya tender-tender yang dikeluarkan mempunyai spesifikasi yang teruk, antaranya ia terlalu umum dan syarat kelayakan kontraktor tidak spesifik. 

"Tender juga cenderung kepada tawaran komersial satu-satu syarikat berbanding keupayaan teknikal. 

“Ia juga terdedah oleh salah guna kuasa oleh pengeluar tender dan kartel kontraktor," tambahnya.

Beliau berkata, penyelesaian yang paling berkesan untuk meningkatkan kesedaran awam ialah pendidikan budaya selenggara kepada kanak-kanak, yang perlu diterapkan semasa zaman persekolahan lagi.