- Iklan -
Berita

Isu kenaikan kos sara hidup, harga barang tumpuan utama sidang Dewan Rakyat

Soalan ketua pembangkang itu dijangka akan dijawab perdana menteri pada sidang hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan tawar-menawar di Pasar Pagi Kelantan, Pantai Dalam. Gambar: Bernama
Pelanggan tawar-menawar di Pasar Pagi Kelantan, Pantai Dalam. Gambar: Bernama

Persoalan mengenai langkah untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan kekal pada harga mampu milik rakyat antara topik yang dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada perdana menteri semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) pula meminta perdana menteri menyatakan bilangan rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga kini, serta langkah kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan tegar.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang mengajukannya kepada Menteri Wilayah Persekutuan mengenai pelan jangka panjang dan pendek supaya Kuala Lumpur bebas daripada banjir, termasuk banjir kilat yang sering melanda apabila hujan lebat.

Selain itu, Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dijangka meminta perdana menteri menyatakan program dan formula yang akan dirangka kerajaan untuk meningkatkan kesedaran pengundi muda akan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi.

Isu mengenai Perang Rusia-Ukraine pula disentuh Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) melalui soalan yang diajukan kepada menteri luar iaitu langkah yang diambil kerajaan untuk membendung kesan secara tidak langsung peperangan itu khususnya kepada ekonomi.

Beliau juga bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk memastikan rantau ini tidak akan terlibat secara langsung dalam mana-mana proksi yang akan memberi kesan buruk kepada negara.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat itu bakal menyaksikan sama ada pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dapat dilaksanakan atau ditangguh buat kali ketiga.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.