- Iklan -
Berita

Pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat ditangguh kali keempat

Pemilihan timbalan speaker menggantikan Azalina Othman Said ditangguh ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.

Usul pemilihan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini sekali lagi ditangguh.

Usul penangguhan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor satu dalam aturan urusan mesyuarat hari ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dan dengan persetujuan Tuan Yang di-Pertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat seperti perkara nombor satu yang tertera dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul hari ini, di mesyuarat ketiga akan datang,” katanya.

Usul itu kemudian disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ermieyati Samsudin seterusnya dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli Dewan.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, namun masih menjalankan tugas sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat sementara, sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

Usul menangguhkan pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat dibawa kali pertama oleh Wan Junaidi pada 14 Sept tahun lepas dan pada 25 Okt lepas, diikuti dengan usul oleh Mas Ermieyati pada persidangan 1 Mac lepas.

Wan Junaidi berkata usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguh bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah timbalan speaker Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang timbalan speaker daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.