- Iklan -
Berita

i-Lindung beri manfaat kepada golongan M40, kata pakar ekonomi

Mereka berkata langkah pembelian insurans oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja itu tidak memberi kesan kepada ahli kerana ia menggunakan Akaun 2.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar ekonomi berpandangan langkah pembelian insurans oleh KWSP sebagai tindakan wajar apabila ia memastikan sosial dan ekonomi rakyat terutama pencarum KWSP terjamin.
Pakar ekonomi berpandangan langkah pembelian insurans oleh KWSP sebagai tindakan wajar apabila ia memastikan sosial dan ekonomi rakyat terutama pencarum KWSP terjamin.

Langkah membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli produk insurans atau takaful menggunakan Akaun 2 menerusi disambut baik dalam kalangan pakar ekonomi memandangkan ia boleh menawarkan "perlindungan berganda" kepada pencarum.

Bercakap dengan MalaysiaNow, beberapa pakar ekonomi berpandangan langkah ini merupakan satu tindakan wajar apabila ia memastikan sosial dan ekonomi rakyat terutama pencarum KWSP terjamin.

Pada Selasa, KWSP melancarkan platform i-Lindung di bawah pelan perlindungan ahli untuk memudahkan pembelian produk insurans dan takaful yang merangkumi perlindungan hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan.

Menurut KWSP, tawaran perlindungan kepada pencarumnya itu berkuat kuasa serta-merta.

Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah ini dijangka akan lebih memanfaatkan golongan berpendapatan sederhana (M40) memandangkan peruntukan penyediaan produk insurans dan takaful bagi golongan pendapatan rendah (B40) sudah disediakan dalam Belanjawan 2022 yang diumumkan pada Oktober tahun lalu.

"Walaupun kita tahu kerajaan sediakan bantuan untuk rakyat membeli produk insurans dan takaful, ia lebih mensasarkan golongan B40," katanya.

"Oleh itu, langkah yang diumumkan KWSP ini akan lebih manfaatkan golongan M40 kerana golongan ini juga berdepan kesukaran untuk membeli insurans.

"Justeru, ini adalah peluang bagi mereka untuk mendapatkan perlindungan sosial."

Sementara itu, pakar ekonomi Barjoyai Bardai, melihat keputusan ini tidak akan menjejaskan simpanan pencarum KWSP memandangkan pembelian produk insurans itu hanya dilakukan menggunakan Akaun 2.

Katanya, Akaun 2 sememangnya bertujuan memudahkan pencarum menguruskan hal ehwal berkaitan pembiayaan pendidikan dan rumah, oleh itu, perlindungan sosial seperti pembelian insurans dan takaful sesuai diletakkan dalam kategori ini.

"Di Akaun 1 terdapat perlindungan dari segi pendapatan persaraan manakala satu lagi perlindungan insurans dan takaful yang meliputi kemalangan dan nyawa.

"Ini sekali gus menawarkan perlindungan yang seimbang atau dengan kata lain, perlindungan berganda," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Loh Guat Lan turut menyarankan supaya kerajaan membuka platform i-Lindung kepada lebih ramai pengendali insurans hayat di Malaysia bagi menawarkan pilihan produk sesuai dengan tawaran manfaat lebih banyak kepada pengguna.

Menurutnya, kadar pengambilan insurans dan takaful di Malaysia adalah sekitar 56.1%.

"Jika kita ambil kira pemegang polisi yang miliki lebih dari satu polisi, peratusannya berkurang kepada 41%," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ini bermakna empat daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat. Daripada jumlah ini, hanya 4% isi rumah B40 yang mempunyai insurans atau takaful."

Tambah beliau, terdapat juga mereka yang mempunyai insurans tetapi jumlah liputan yang disediakan tidak cukup untuk menawarkan perlindungan terhadap ahli keluarga.

Katanya, jumlah purata perlindungan yang diambil rakyat Malaysia adalah sekitar RM50,000, jumlah yang sebenarnya tidak mencukupi.

"Berdasarkan Kajian Jurang Perlindungan yang diterbit oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dan LIAM  pada 2013, terdapat jurang besar bagi perlindungan antara keluarga yang mempunyai insurans hayat.

"Mengikut purata, perbezaan jurang adalah antara RM100,000 kepada RM150,000 bagi setiap ahli keluarga.

"Keluarga yang mempunyai lima ahli akan memerlukan sekurang-kurangnya RM553,000 untuk bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya pencari nafkah hilang upaya atau meninggal dunia," tambahnya.

Loh berkata, kadar penembusan insurans dan takaful yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan satu isu yang perlu ditangani menerusi pelancaran platform i-Lindung.

Katanya, industri insurans hayat juga akan terus usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan insurans dan takaful di semua lapisan masyarakat.

"Industri ini sudah menggariskan pelan hala tuju dan strategi 5 tahun untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya dan menambah antara tumpuan ialah meningkatkan penembusan pasaran pemilikan insurans hayat di Malaysia.