- Iklan -
Berita

Majikan gesa kerajaan bantu hadapi impak cuti bersalin lebih panjang

Sementara itu, wujud kebimbangan diskriminasi terhadap pekerja wanita ketika pindaan Akta Kerja tersebut berkuat kuasa.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar memberi amaran kemungkinan diskriminasi terhadap pekerja wanita berlaku jika pindaan Akta Kerja yang membenarkan cuti bersalin lebih lama tidak dilaksanakan dengan baik.
Pakar memberi amaran kemungkinan diskriminasi terhadap pekerja wanita berlaku jika pindaan Akta Kerja yang membenarkan cuti bersalin lebih lama tidak dilaksanakan dengan baik.

Ketika Mohd Azfar Zahari menimang cahaya mata empat tahun lalu, dia tidak mengambil sebarang cuti dan tetap bekerja di sebuah syarikat farmasi di ibu kota. 

Tahun ini, Azfar dan isteri dijangka akan menerima kelahiran bayi kedua pada November. 

Dia masih ragu-ragu tentang keputusan untuk mengambil cuti paterniti. 

Kebimbangannya kini kepada kesihatan dan emosi isteri yang akan menguruskan kelahiran bayi di rumah tanpanya di sisi. 

"Ia masih bergantung pada budi bicara majikan saya sama ada diluluskan cuti paterniti atau tidak. Jika saya tetap mahukan, mungkin saya akan mendapat cuti tanpa bayaran gaji,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Ini sangat berisiko kerana tempoh lima ke tujuh hari tanpa gaji memperuntukkan jumlah yang besar pada penyata pendapatan bulanan saya.”

Pada Jun, Kementerian Sumber Manusia mengumumkan Akta Kerja (Pindaan) 2022 akan berkuat kuasa mulai 1 September. 

Ini termasuk lanjutan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, sekatan terhadap pemberhentian pekerja yang mengandung serta pengenalan cuti paterniti bagi pekerja lelaki. 

Pindaan tersebut dinantikan oleh ramai pekerja terutama golongan suami isteri dan ibu bapa bekerja yang dijangka akan memberi manfaat kepada mereka - perlindungan dan kemudahan untuk meringankan tanggungjawab di rumah. 

Selain itu, pindaan itu juga mungkin akan menurunkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara dengan jam kerja mingguan tertinggi di dunia.

Ini kerana jam kerja mingguan maksimum dijangka berkurang daripada 48 jam kepada 45 jam.

Majikan tiada pilihan

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman berkata pelaksanaan pindaan itu tidak memberikan sebarang pilihan kepada pihak majikan selain melaksanakan perintah di bawah peruntukan akta tersebut. 

Katanya, dengan pelaksanaan akta tersebut majikan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi yang timbul akibat peningkatan cuti sakit, cuti bersalin, cuti paterniti dan juga pengurangan waktu kerja. 

"Selain dari peningkatan kos yang timbul dari penambahan faedah-faedah di bawah pindaan akta kerja, majikan juga terpaksa menangung kos akibat dari pengambilan cuti kecemasan, cuti tanpa gaji, atau ponteng tanpa sebab munasabah yang mengakibatkan pengurangan produkviti dan kerugian kewangan kepada majikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, cuti bersalin sehingga 90 hari di bawah pindaan akta tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan. 

Katanya, negara-negara Asean yang lain menyaksikan sebahagian kos ditanggung oleh pertubuhan keselamatan sosial seperti di Thailand, cuti bersalin yang melebihi 45 hari, sebanyak 50% kos ditanggung oleh pertubuhan untuk dua kelahiran sahaja. 

"Begitu juga di Indonesia, Filipina, Vietnam dan Kemboja dimana pertubuhan keselematan sosial menanggung sebahagian kos cuti bersalin." 

Manakala di Singapura untuk dua kelahiran pertama cuti bersalin 60 hari ditanggung majikan dan 28 hari selebihnya ditanggung oleh kerajaan. 

"Untuk kelahiran ketiga dan keempat, kesemua 12 minggu cuti bersalin ditanggung oleh kerajaan."

Atas sebab itu, Syed Hussain berharap agar kerajaan mempertimbangkan sebahagian kos cuti bersalin dan cuti paterniti dibiaya melalui sistem keselamatan sosial atau Skim Insurans Pekerjaan. 

Bersediakah Malaysia dengan pindaan Akta Kerja? 

Seorang penganalisis dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia berkata pindaan tersebut adalah satu langkah penting bagi memastikan setiap tempat kerja mengambil pendekatan "mesra keluarga".

Bagaimanapun, menurut Lee Min Hui terdapat kebimbangan besar terhadap pindaan akta tersebut yang disifatkan jika tidak dilaksana dengan tepat, akan merencatkan kemajuan yang ingin dicapai. 

Katanya, apabila majikan menanggung kos sepenuhnya cuti bersalin, mereka mungkin memilih untuk tidak mengupah atau menaikkan pangkat pekerja wanita kerana merasakan beban kewajipan penjagaan pada masa-masa akan datang. 

Selain itu katanya, kekurangan di tempat kerja dan sokongan organisasi boleh menghalang bapa daripada mengambil cuti paterniti kerana bimbang akan dikenakan penalti terhadap kerjaya mereka. 

Menurutnya, kedua-dua bentuk diskriminasi itu sudah dianggap sebagai kejadian yang biasa di kebanyakan negara, malah biasanya dianggap lebih progresif.

"Jika Malaysia mahu melihat kemajuan sebenar dalam bidang ini, negara harus berbesar hati untuk wujudkan undang-undang mencegah diskriminasi dalam pengambilan pekerja untuk elakkan wanita daripada didiskriminasi sebelum bekerja lagi. 

"Kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan sewajarnya Akta Kerja 1955 dan mencari cara baru membiayai cuti ibu dan bapa bagi memastikan kemampanan pada masa depan terutama bagi syarikat yang lebih kecil," katanya kepada MalaysiaNow. 

Menurut Lee, pengenalan undang-undang baru itu mungkin bersifat progresif tetapi pelaksanaan yang lemah di lapangan berpotensi menjejaskan kebajikan pekerja wanita dan lelaki.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.