- Iklan -
Berita

MoU pengambilan pekerja Indonesia, pembiayaan subsidi jadi tumpuan Dewan Rakyat

Isu status projek pengangkutan awam dan penipuan dalam talian juga turut dibangkikan ahli Parlimen.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Isu pembekuan pekerja Indonesua disebabkan dakwaan pelanggaran MoU akan dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.
Isu pembekuan pekerja Indonesua disebabkan dakwaan pelanggaran MoU akan dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Isu memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia berhubung pengambilan pekerja republik itu serta kaedah kerajaan membiayai jumlah keseluruhan subsidi dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan berhubung isu MoU itu diajukan Anthony Loke (PH-Seremban) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri yang mahu menteri sumber manusia menjelaskan faktor yang menyebabkan Indonesia membekukan penghantaran pekerjanya ke Malaysia.

Turut tersenarai, soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) kepada menteri kewangan berkaitan kaedah kerajaan membiayai jumlah keseluruhan subsidi yang dijangka akan mencecah RM80 bilion bagi tahun ini dan bentuk pembaharuan dasar subsidi yang sedang dirancang.

Pada sesi soal jawab pula, Ahmad Maslan (BN-Pontian) meminta menteri pengangkutan menyatakan status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kereta api berkelajuan tinggi (HSR), Lebuhraya Pan Borneo, transit ali­ran massa (MRT), dan lebuh raya baharu bagi mengurangkan kesesakan terutama ketika cuti panjang dan perayaan.

Selain itu, isu jenayah komersial akan diajukan Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan pendekatan kerajaan dalam membanteras jenayah yang membabitkan penipuan dalam talian.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi pembentangan untuk bacaan kali pertama bagi Rang Undang-undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022, diikuti Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.

Selesai sesi tersebut, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan Rang Undang-undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021. 

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.