Siasatan pihak berkuasa Singapura ke atas seorang peguam hak asasi manusia terkemuka memberikan sedikit harapan kepada banduan bilik akhir Nazeri Lajim, dua hari sebelum pelaksanaan hukuman matinya pada Jumaat ini.
Pada 5 Oktober lalu, M Ravi menulis bagi pihak Nazeri dan 16 banduan Melayu yang diwakilinya dalam saman diskriminasi kaum terhadap kerajaan, dalam sebuah surat di mana beliau menggesa peguam negara memetik Menteri Dalam Negeri K Shanmugam menghina mahkaman berikutan kenyataannya yang mengecam saman itu di parlimen.
Susulan tindakannya, beliau menerima notis polis yang memaklumkan beliau sedang disiasat atas beberapa kesalahan.
Pada Mei tahun ini, Ravi dimaklumkan siasatan ke atasnya adalah berdasarkan aduan bahawa beliau tidak menerima arahan dari 17 banduan itu termasuk Nazeri ketika menulis surat kepada peguam negara.
Hari ini, Ravi menulis surat kepada Mahkamah Rayuan, menamakan Nazeri sebagai saksi di mana keterangan banduan itu penting dalam siasatan polis tersebut.
“Perhatian perlu diberikan bahawa perkara yang dibangkitkan dalam surat saya bertarikh 5 Oktober adalah berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Undang-Undang dan Dalam Negeri K Shanmugam yang bertanggungjawab terhadap Penjara Changi yang menjalankan hukuman mati.
"Dalam keadaan ini, saya terpaksa memohon demi keadilan supaya mahkamah menggunakan kuasanya untuk melindungi pentadbiran kehakiman dengan mengarahkan penangguhan pelaksanaan hukuman yang telah dijadualkan terhadap Nazeri Lajim sementara menunggu siasatan polis selesai," kata Ravi dalam emelnya.
Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan kerajaan memberi maklum balas terhadap permohonan Ravi selewat-lewatnya pukul 10 pagi esok.
Nazeri, 64, dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada 22 Julai walaupun keluargannya membuat rayuan supaya dia diberikan pengampunan termasuk permohonan pengampunan daripada presiden.
Nazeri adalah salah seorang daripada 17 banduan bilik akhir yang memfailkan saman terhadap kerajaan, mendakwa wujud diskriminasi kaum dan berat sebelah dalam pendakwaan mereka kerana beretnik Melayu.
Saman tersebut ditolak akhir tahun lalu di mana hakim menyifatkannya sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.
Nazeri dijatuhi hukuman mati pada 2017, lima tahun selepas penahanannya sewaktu operasi anti narkotik.
Dia ditangkap sejurus selepas menerima dua bungkusan mengandungi heroin
Ravi yang cuba membuka semula kes Nazeri pada 2020 berkata dadah yang ditemui dalam simpanan Nazeri adalah untuk kegunaan peribadi.
"Tidak masuk akal untuk membunuh seseorang yang sakit dan mengalami masalah ketagihan dadah yang serius," kata Ravi baru-baru ini apabila dimaklumkan mengenai tarikh hukuman mati Nazeri.