- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat lulus RUU anti gangguan seksual

Menteri KPWKM Rina Harun berkata jawatankuasa akan diwujudkan bagi memantau keberkesanan RUU tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS2021) digubal sejak 2011. Gambar: Bernama
Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS2021) digubal sejak 2011. Gambar: Bernama

Hasil usaha penggubalan dan libat urus yang dilakukan sejak 2011, Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS2021) akhirnya diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

AGS 2021, yang mengandungi empat bahagian, empat bab dan 27 fasal, diharap berupaya menangani isu gangguan seksual di Malaysia yang belum memiliki undang-undang khusus berhubung gangguan seksual.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Rina Harun ketika menggulung AGS 2021 berkata rang undang-undang itu adalah manifestasi penting dan membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha menghapuskan diskriminasi berasaskan gender.

Beliau berkata satu jawatankuasa penilaian dianggotai individu daripada kalangan wakil badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan agensi berkaitan akan diwujudkan bagi memantau keberkesanan rang undang-undang itu serta mengeluarkan laporan mengenainya.

Rina memberi jaminan anggota tribunal akan dilantik daripada kalangan individu yang mempunyai kredibiliti, pengalaman dan kepakaran dalam menangani kes gangguan seksual termasuk pegawai polis, kaunselor, pegawai kesihatan, doktor, NGO dan ahli akademik. 

Menyentuh hal pengoperasian, Rina berkata tribunal itu, yang pada awalnya akan diwujudkan di Lembah Klang, boleh bersidang pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat mengikut keperluan bagi memudahkan masyarakat sebelum ia diperluas ke semua negeri.

Beliau berkata pengoperasian tribunal akan mempertimbang pandangan semua pihak berkepentingan di samping memperhebat usaha pendidikan dan kesedaran kepada golongan sasar.

Katanya pembangunan dasar atau pengeluaran garis panduan berhubung pencegahan atau kesedaran tentang gangguan seksual akan dilaksana.

“Ini termasuklah menggalakkan aktiviti atau menyediakan notis berkaitan pencegahan atau kesedaran tentang gangguan seksual. 

“Pemakaian notis adalah tidak bersifat menghukum tetapi lebih kepada memberi kesedaran mengenai gangguan seksual, implikasi serta cara mencegahnya,” kata Rina.

Sementara itu, rata-rata ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang ketika membahaskan rang undang-undang tersebut senada menzahirkan ucapan tahniah dan sokongan kepada KPWKM kerana berjaya membentangkan AGS 2021.

Antaranya Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang menyifatkan pembentangan AGS 2021 membuktikan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap gangguan seksual di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial itu berkata mewujudkan definisi gangguan seksual yang luas termasuk lisan, bukan lisan, visual, isyarat dan fizikal menerusi rang undang-undang itu bagi melindungi mangsa gangguan seksual adalah langkah tepat.

Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) pula berkata AGS 2021 adalah lambang kemenangan kepada kumpulan aktivis dan NGO berkaitan yang selama ini menyuarakan isu gangguan seksual. 

“Gangguan seksual bukan hal remeh, ia sering kali dianggap gurauan, dengan adanya rang undang-undang ini, ia memberikan hak untuk wanita berasa selamat di mana jua mereka berada,” katanya.

Bagi Fuziah Salleh (PH-Kuantan), KPWKM perlu memberi tumpuan kepada usaha mendidik rakyat Malaysia mengenai rang undang-undang itu dan memanfaatkan peruntukan yang disediakan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.