- Iklan -
Berita

Malaysia kekal di kedudukan terendah dalam laporan pemerdagangan manusia AS

Jabatan Negara AS berkata Malaysia tidak memenuhi piawaian minimum dalam menghapuskan pemerdagangan manusia dan tidak melakukan usaha yang lebih signifikan dalam menghentikannya.

Staff Writers
4 minit bacaan
Kongsi
Jabatan Negara AS berkata Putrajaya terus mencampur adukkan jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migram, di mana ia menjejaskan penguatkuasaan undang-undang dan usaha mengenal pasti mangsa.
Jabatan Negara AS berkata Putrajaya terus mencampur adukkan jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migram, di mana ia menjejaskan penguatkuasaan undang-undang dan usaha mengenal pasti mangsa.

Malaysia kekal berada di Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) Amerika Syarikat (AS) bagi 2022, di mana pihak berkuasa AS berkata Putrajaya tidak memenuhi standard minimum dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia dan tidak melakukan usaha yang signifikan dalam menghentikannya.

Dalam laporan itu, Jabatan Negara AS berkata kerajaan Malaysia telah mengambil "beberapa langkah" untuk menangani isu pemerdagangan manusia, seperti meminda undang-undang anti pemerdagangan manusia dan Akta Kerja bagi memperluaskan definisi buruh paksa.

Jabatan itu turut berkata Putrajaya juga menjatuhkan hukuman kepada lebih ramai pesalah jenayah pemerdagangan manusia berbanding tempoh pelaporan sebelum ini selain turut mengeluarkan lebih banyak kebebasan bergerak kepada mangsa jenayah itu di pusat perlindungan yang dibiayai kerajaan, selain menerima pakai pelan tindakan nasional bagi tempoh lima tahun dalam usaha membanteras buruh paksa.

"Bagaimanapun, kerajaan terus mencampur adukkan jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran, di mana ia menjejaskan penguatkuasaan undang-undang dan usaha mengenal pasti mangsa," katanya.

"Siasatan anti pemerdagangan juga turut merosot, dan kerajaan tidak mendakwa atau mensabitkan kesalahan terhadap pegawai kerajaan yang didakwa terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia.”

Laporan TIP 2022 turut merangkumkan usaha kerajaan yang dijalankan dari 1 April 2021 hingga 31 Mac 2022.

Beberapa negara diberikan kedudukan mengikut tahap, di mana Tahap 1 adalah tahap tertinggi dari empat tahap.

Penentuan kedudukan itu dibuat berdasarkan sejauh mana usaha kerajaan dalam memenuhi standard minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000 (TVPA).

Negara yang disenaraikan pada Tahap 1 ialah negara memenuhi sepenuhnya standard minimum TVPA manakala negara Tahap 2 pula adalah negara yang tidak sepenuhnya mengikut standard TVPA namun melakukan usaha-usaha yang ketara bagi memenuhi standard tersebut.

Negara Tahap 2 Dalam Senarai Pemerhatian pula ialah negara yang kerajaannya tidak memenuhi standard minimum namun sedang melakukan usaha yang signifikan untuk mencapai piawaian tersebut, di mana anggaran bilangan mangsa jenayah pemerdagangan manusianya tinggi atau meningkat dengan ketara dan kerajaan tidak mengambil tindakan membanterasnya secara berkala.

Laporan itu juga turut menilai negara yang gagal memberikan bukti bahawa wujud usaha yang ketara dalam membanteras pemerdagangan manusia berbanding tahun lalu, termasuk peningkatan siasatan, pendakwaan dan pensabitan bagi jenayah tersebut, selain bukti pengurangan aktiviti subahat penguat kuasa dan pegawai kerajaan dalam jenayah itu.

Sementara negara-negara yang kerajaannya tidak memenuhi standard minimum dan tidak melakukan usaha gigih dalam membanteras jenayah tersebut diletakkan pada Tahap 3.

Kerajaan negara yang disenaraikan pada Tahap 3 juga mungkin tertakluk kepada sekatan tertentu bagi bantuan asing, di mana presiden AS boleh menentukan, antara lain, untuk tidak memberikan bantuan bukan kemanusiaan dan bukan berkait perdagangan seperti yang ditakrifkan dalam TVPA.

Malaysia berada di Tahap 3 sejak 2021. 

Ia berada dalam senarai negara Tahap 2 Dalam Senarai Pemerhatian bagi tempoh tiga tahun sebelumnya, dari 2018 hingga 2020, walaupun ia berada di Tahap 2 pada 2017.

Sebelum itu, Malaysia sekali lagi berada di Tahap 2 Dalam Senarai Pemerhatian dari 2015 hingga 2016.

Laporan TIP 2022 juga mengatakan seperti tahun-tahun sebelumnya, Putrajaya dadapati masih tidak menangani dakwaan yang boleh dipercayai daripada pelbagai sumber yang mendakwa wujud jenayah pemerdagangan buruh dalam industri pembuatan getah dan sektor minyak sawit.

Ia berkata kegagalan kerajaan menangani pemerdagangan dalam sektor ini menyebabkan majikan yang mendera pekerja terus beroperasi tanpa dikenakan hukuman.

"Oleh kerana usaha kenal pasti mangsa tidak konsisten, pihak berkuasa terus menghukum mangsa jenayah pemerdagangan manusia secara tidak wajar atas kesalahan berkait imigresen dan 'pelacuran'," katanya.

"Penyelarasan antara agensi yang lemah dan perkhidmatan perlindungan mangsa yang tidak mencukupi secara keseluruhannya, tidak menggalakkan mangsa daripada terus berada di Malaysia untuk menyertai prosiding jenayah, seterusnya menghalang usaha penguatkuasaan undang-undang anti pemerdagangan manusia."

Laporan itu turut mengesyorkan supaya Malaysia meningkatkan usaha dalam mengenal pasti mangsa, termasuk pekerja domestik dan pekerja dalam sektor pembuatan minyak sawit dan getah.

Ia juga mencadangkan agar kerajaan melatih pegawai penguatkuasaan, termasuk polis  dan pegawai imigresen mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengenal pasti mangsa termasuk maklumat mengenai indikator pemerdagangan manusia.

Ia berkata perlindungan buruh perlu ditingkatkan, di samping kapasiti penguatkuasaan undang-undang dalam menyiasat dan mendakwa kes pemerdagangan dan melarang majikan menyimpan pasport pekerja tanpa kebenaran pekerja.

"Hapuskan yuran pengambilan atau penempatan yang dikenakan kepada pekerja oleh perekrut dan pastikan yuran pengambilan mereka dibayar oleh majikan," tambahnya.

"Kurangkan kelewatan dalam pendakwaan, dan sediakan panduan yang lebih baik kepada pendakwa raya dalam meneruskan pertuduhan pemerdagangan manusia, dan tingkatkan kebiasaan kehakiman dengan semua jenis jenayah berkait pemerdagangan manusia, khususnya buruh paksa.

"Tingkatkan usaha untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia dalam kalangan pekerja dari China dalam projek infrastruktur yang berkaitan dengan China.”

Laporan itu berkata amalan rasuah yang berterusan dalam proses pengambilan warga asing untuk bekerja di Malaysia meningkatkan kos dan seterusnya menyebabkan warga asing terdedah untuk menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia akibat tanggungan hutang yang dipaksa ke atas mereka.

"Pegawai imigresen melakukan jenayah pemerdagangan manusia di mana mereka menerima rasuah daripada broker dan penyeludup di kawasan sempadan, termasuk di lapangan terbang. 

“Beberapa pegawai kerajaan mendapat keuntungan daripada rasuah dan penglibatan langsung dalam jenayah ugut dan eksploitasi migran,” katanya.