- Iklan -
Berita

Dakwaan Najib terhadap hakim Nazlan terdesak, tidak berasas, kata pendakwa raya

Pendakwaan berkata dakwaan itu boleh dibangkitkan ketika perbicaraan, namun bekas perdana menteri itu tidak berbuat demikian kerana isu tersebut adalah tidak sah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan mendakwa Najib Razak melakukan percubaan yang terdesak untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd dengan membangkitkan dakwaan tidak berasas terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang tidak dapat membela dirinya sendiri.

Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang menjawab afidavit sokongan lanjutan permohonan Najib, berkata isu konflik kepentingan membabitkan hakim itu seperti yang didakwa Najib sepatutnya boleh dibangkitkan ketika perbicaraan, tetapi bekas perdana menteri itu memilih untuk tidak berbuat demikian kerana isu berkenaan adalah tidak sah.

Nazlan yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Menyentuh mengenai kenyataan Najib berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Nazlan, Ashrof menegaskan bahawa ia dipenuhi skandal yang bertujuan mencemarkan nama baik Nazlan sebagai hakim perbicaraan.

“Pengetahuan Najib  yang dikatakan sebagai pengetahuan peribadi mengenai siasatan SPRM adalah tidak benar kerana SPRM sebagai agensi penguatkuasaan bebas tidak akan mendedahkan maklumat rahsia berhubung siasatan yang masih berjalan,” katanya.

Ashrof berkata demikian bagi menjawab afidavit sokongan lanjutan Najib dalam permohonannya untuk mendapatkan perisytiharan bahawa perbicaraan SRC batal dan tidak sah serta memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula.

Beliau menambah, tiada konflik kepentingan apabila Nazlan mendengar perbicaraan kes SRC, malah Najib membuat pengakuan bahawa tiada dakwaan rasuah terhadap hakim itu, tetapi hanya sama ada wujudnya konflik kepentingan apabila Nazlan mendengar perbicaraan kes terbabit.

Katanya dakwaan pembabitan Nazlan dalam kapasiti sebelumnya sebagai ketua kaunsel dan setiausaha syarikat kumpulan Maybank dalam pinjaman RM140 juta kepada Puncak Perdana Sdn Bhd dan RM4.17 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak dibuktikan dan sangkaan semata-mata.

“Dalam apa jua keadaan, keterangan yang didakwa adalah tidak relevan kepada pertuduhan yang dihadapi oleh pemohon (Najib) dalam rayuan ini. Tujuan sebenar (dokumen berhubung dakwaan konflik kepentingan) dikemukakan, iaitu satu dokumen yang tidak bernilai, adalah untuk memburukkan Nazlan pada pendapat umum sebelum pendengaran permohonan ini,” katanya.

Pada 8 Disember tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan ahli Parlimen Pekan itu yang mendorong beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan terhadapnya.