- Iklan -
Berita

Penumpang AirAsia dari Switzerland kecewa apabila dipaksa terima kredit

Jurutera awam Uwe Guenther berkata jumlah kredit yang diberikan kepadanya juga tidak menyamai bayaran tiket yang dibelinya.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Krew syarikat penerbangan Air Asia menjalankan tugas menyiapkan pesawat sebelum berlepas ke di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Syarikat itu kini berdepan tuntutan bayaran tunai daripada penumpangnya ekoran pembatalan penerbangan sepanjang pandemik.
Krew syarikat penerbangan Air Asia menjalankan tugas menyiapkan pesawat sebelum berlepas ke di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Syarikat itu kini berdepan tuntutan bayaran tunai daripada penumpangnya ekoran pembatalan penerbangan sepanjang pandemik.

Seorang penumpang AirAsia dari Zurich, Switzerland meluahkan rasa kecewa apabila dipaksa menerima bayaran balik dalam bentuk kredit meskipun berkali-kali menegaskan untuk mendapatkan kembali duitnya secara tunai

Bercakap dengan MalaysiaNow, Uwe Guenther yang merupakan seorang jurutera awam, menceritakan kisahnya apabila berurusan dengan syarikat penerbangan tambang murah itu ketika merancang untuk mengadakan percutian di Indonesia bersama keluarganya.

Menurut Guenther, percutian itu sepatutnya berlangsung pada 2020, namun disebabkan penularan Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan sehingga situasi pandemik terkawal.

Malah, dia sudah menempah tiket penerbangan domestik bersama AirAsia dan membuat pembayaran sebanyak AS$186 (RM754).

"Pada ketika itu saya terima bayaran balik dalam bentuk kredit kerana  saya tahu bahawa saya akan kembali bercuti di Indonesia selepas situasi pandemik reda," katanya.

Menurut Guenther, dia kemudian menempah enam tiket penerbangan domestik bersama AirAsia pada Mac lalu menggunakan kredit yang diterima serta menambah bayaran AS$51.72 (RM230.15) dan AS$109 (RM485.05) untuk memilih tempat duduk.

Berdasarkan tempahan tiket penerbangan yang ditunjukkan kepada MalaysiaNow, penerbangan itu dijadual berlepas pada 18 Ogos 2022 dari Bali ke Labuan Bajo - Komodo Island.

Namun kemudian, dia mendapati penerbangan itu tidak akan berlepas mengikut tarikh yang diinginkan menyebabkan dia terus menghubungi AirAsia.

Guenther berkata, dia meminta AirAsia membuat tempahan semula bersama syarikat penerbangan lain memandangkan platform pembelian dalam talian itu turut menjual tiket penerbangan mereka.

"Saya diyakinkan bahawa penerbangan itu akan berlepas mengikut jadual dan tempahan semula kekal tidak dibuat.

"Bagaimanapun, saya tetap membeli tiket penerbangan dengan syarikat penerbangan lain kerana saya bimbang AirAsia tidak kotakan janji," kata Guenther yang menukar penerbangannya daripada AirAsia ke Batik Air.

Jangkaan Guenther menjadi realiti apabila AirAsia pada awal Julai memaklumkan kepadanya menerusi emel bahawa penerbangannya bersama syarikat penerbangan itu telah dibatalkan.

Seterusnya, Guenther cuma memohon bayaran balik menerusi AVA namun dia menjadi bingung apabila permohonannya gagal setelah dimaklumkan pembatalan penerbangan itu bukan berpunca daripada AirAsia.

"Saya telah menghantar beberapa emel yang tidak berbalas menegaskan bahawa saya inginkan bayaran balik dalam bentuk tunai dan bukannya kredit kerana ia tidak berguna memandangkan saya menetap di Eropah.

"Baru-baru ini, saya terima emel memaklumkan bahawa permohonan kredit saya berjaya.

"Saya tidak pernah memohon kredit, malah lebih memburukkan keadaan ialah hanya separuh daripada nilai tiket yang saya beli dikreditkan," kata Guenther.

Berdasarkan akuan aplikasi AirAsia milik Guenther yang ditunjukkan kepada MalaysiaNow, dia hanya menerima kredit bernilai AS$163.53 (RM727.71) berbanding AS$346.72 (RM1542.90), bayaran penuh yang dilakukan kepada syarikat penerbangan tersebut.

Meluahkan lagi rasa marahnya,  Guenther menyifatkan tindakan AirAsia sebagai satu perbuatan jenayah, malah dia juga mempersoalkan mengapa tiada campur tangan daripada kerajaan Malaysia yang terus membenarkan syarikat penerbangan ini terus beroperasi.

Malah, Guenther turut akui bahawa dia pernah menggunakan perkhidmatan AirAsia kira-kira 10 tahun lalu apabila berada di Thailand dan tidak berdepan sebarang masalah.

"Saya sering mengembara dan pernah menggunakan perkhidmatan banyak syarikat penerbangan.

"Apa yang AirAsia lakukan adalah satu jenayah," katanya.

Ditanya sama ada dia akan terbuka hati untuk menggunakan perkhidmatan AirAsia lagi pada masa hadapan, Guenther menegaskan dia tidak akan berbuat demikian dan lebih rela memilih syarikat penerbangan lain meskipun perlu membayar lebih.

Dalam pada itu, Guenther memberitahu bahawa percutiannya pada Ogos ini tetap diteruskan memandangkan segala persiapan dan tempahan sudah disiapkan dan dia akan terbang ke dari Zurich ke Indonesia menaiki Singapore Airline sebelum menaiki penerbangan domestik menggunakan Batik Air.

"AirAsia dulu adalah syarikat penerbangan yang dihormati. Kini saya tidak lagi akan gunakan perkhidmatan mereka.

"Saya lagi rela bayar lebih - seperti yang saya telah lakukan apabila saya terpaksa membayar enam lagi tiket dengan syarikat penerbangan lain disebabkan perbuatan AirAsia," tambahnya.

MalaysiaNow sudah menghubungi AirAsia namun tidak menerima sebarang maklum balas.