- Iklan -
Berita

‘Saya merayu belas kasihan', kata banduan Singapura menjelang hukuman mati

Walaupun pelbagai usaha diambil oleh peguamnya, lelaki Singapura berusia 64 tahun itu terpaksa membela diri dalam rayuan di saat akhir.

Our Regional Correspondent
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar menunjukkan Nazeri Lajim pada usia 30-an (kiri), 40-an (tengah) dan gambar terbarunya (kanan). Gambar: Transformative Justice Collective
Gambar menunjukkan Nazeri Lajim pada usia 30-an (kiri), 40-an (tengah) dan gambar terbarunya (kanan). Gambar: Transformative Justice Collective

Tanpa ditemani mana-mana peguam dari Singapura yang berani mewakili banduan bilik akhir, Nazeri Lajim terpaksa membela dirinya sendiri bagi memohon belas kasihan daripada para hakim, menurut saksi yang mengikuti perbicaraan di Mahkamah Rayuan hari ini.

"Saya ada keluarga dan adik-beradik yang belum jumpa saya, mengapa saya tidak boleh diberi masa? Saya merayu belas kasihan. Saya warga emas. Saya tahu saya akan mati," kata Nazeri berbahasa Melayu melalui seorang penterjemah mengikuti prosiding secara dalam talian dari Penjara Changi.

Andrew Phang yang merupakan salah seorang hakim yang mendengar rayuan itu menjawab: “Saya khuatir tiada apa yang dapat kami lakukan.”

“Tidak adakah simpati terhadap orang seperti saya. Saya mohon belas kasihan daripada anda,” rayu Nazeri lagi.

"Keputusan mahkamah adalah muktamad. Mahkamah ditangguhkan," jawab hakim.

Dialog itu menamatkan harapan yang ada untuk Nazeri mengelak hukuman gantung sampai mati yang dijadualkan esok, walaupun peguam M Ravi membuat permohonan saat akhir menamakan Nazeri sebagai saksi penting dalam siasatan yang sedang dijalankan melibatkan beliau.

Sejurus selepas keputusan hari ini, Nazeri kelihatan pasrah dengan nasibnya, dan tersenyum ketika diiringi keluar dari kamar mahkamah oleh pegawai.

Warga Singapura berusia 64 tahun itu dijatuhi hukuman mati pada 2017, lima tahun selepas dia ditangkap bersama dua bungkusan mengandungi heroin. 

Dia dijadualkan menjalani hukuman mati esok.

Membesar dalam keadaan penuh bermasalah sejak kanak-kanak, Nazeri terjebak dengan dadah sejak usia 14 tahun. 

Dia menegaskan dadah yang ada dalam simpanannya adalah untuk kegunaan peribadi, di mana ia menjadi hujah yang dikemukakan oleh peguam bagi membuka semula kesnya berdasarkan bukti perubatan.

Pendengaran hari ini merupakan kali kedua dia hadir di mahkamah dalam tempoh 24 jam. 

Semalam, Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonannya untuk mengenepikan pelaksanaan hukumannya bagi memberi laluan semakan kehakiman berkait hak perlembagaannya untuk mendapatakan layanan setara.

Dalam rayuan terakhirnya hari ini, Nazeri terpaksa membela diri sendirian selepas tiada peguam yang tampil untuk mewakilinya di mahkamah, di sebalik ketakutan yang wujud dalam kalangan pengamal undang-undang Singapura.

Beberapa peguam termasuk M Ravi kehilangan lesen amalan guaman mereka, dan dikenakan hukuman selepas didakwa menyalahgunakan proses mahkamah ketika mewakili banduan bilik akhir.

Di mahkamah hari ini, hakim-hakim yang mendengar rayuan bagi menyelamatkan nyawanya menumpukan perhatian kepada dokumen yang disediakan Nazeri, mempersoalkan siapakah individu yang membantunya memandangkan Nazeri tidak berpendidikan tinggi, malah tidak pernah mendapat latihan guaman secara sah.

Nazeri menjawab dia mendapat bantuan daripada seorang banduan yang memahami istiilah perundangan.

Ketika penghakiman dibacakan, Nazeri berkata dia tidak dapat memahami istilah undang-undang yang disebut hakim kerana dibaca terlalu laju.

Bagaimanapun, hakim berkata keputusan dimuktamadkan dan penghakiman bertulis akan dikeluarkan.

Nazeri merupakan salah seorang dari 17 banduan bilik akhir yang memfailkan saman terhadap kerajaan Singapura, mendakwa wujud diskriminasi kaum dalam pendakwaan di mahkamah berdasarkan etnik Melayu mereka.

Saman itu ditolak akhir tahun lalu selepas hakim menyifatkan saman tersebut sebagai salah guna proses mahkamah. 

Peguam negara Singapura juga turut mendakwa dua peguam yang mewakili mereka di mahkamah, di mana mereka diperintah membayar kos kerana memfailkan saman "tanpa persetujuan".

Pemakluman berhubung pelaksanaan hukuman mati Nazeri dibuat seminggu selepas warga Malaysia, Kalwant Singh dan seorang lagi warga Singapura Norasharee Gous dihukum gantung walaupun terdapat rayuan serupa mengenai hukum bunuh itu daripada aktivis dan peguam hak asasi manusia.

Kerajaan Singapura diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) tetap mempertahankan undang-undang di negara itu yang memperuntukkan hukuman mati sejak beberapa bulan kebelakangan ini walaupun negara jirannya, Malaysia mengumumkan keputusan akan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi pesalah berkait kes dadah.

Kerajaan republik itu turut menolak hujah kebanyakan banduan bilik akhir adalah keldai dadah dan berasal daripada keluarga miskin, manakala dalang yang mengupah mereka sering terlepas daripada tindakan undang-undang.

Nazeri adalah anak daripada pasangan Melayu dari sebelah ibunya sementara bapanya adalah seorang Inggeris yang berkhidmat dengan tentera Britain.

Berasal daripada keluarga miskin di mana dia cuba keluar daripada keadaan hidup daif namun akhirnya terjebak dengan ketagihan dadah.

"Kami adalah keluarga yang sangat-sangat miskin pada masa itu. Kami bergelut dengan keadaan itu, keluarga saya bekerja keras,” kata Nazira yang merupakan adik perempuannya dalam sebuah wawancara diterbitkan NGO anti hukuman mati Transformative Justice Collective.