- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi gesa kerajaan siasat hampir 300 kematian di depoh imigresen

Lawyers for Liberty berkata punca kematian bagi setiap tahanan perlu dikenal pasti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing diangkut menggunakan trak ke depoh imigresen di Semenyih selepas serbuan di Dengkil tahun lalu. Gambar: Bernama
Pekerja asing diangkut menggunakan trak ke depoh imigresen di Semenyih selepas serbuan di Dengkil tahun lalu. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menggesa kerajaan menjelaskan kenyataan menteri dalam negeri berhubung hampir 300 kematian yang berlaku di depoh imigresen sejak 2020, menyifatkan pendedahan itu sebagai "mengganggu dan mengejutkan”.

Dalam satu kenyataan, LFL turut menyentuh kematian enam kanak-kanak dalam kalangan 298 tahanan, mengatakan inkues segera mesti dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kematian.

“Ratusan kematian di depoh tahanan imigresen dalam tempoh yang singkat adalah sangat membimbangkan, tidak ada prosiding inkues dibuat berhubung kematian mereka," katanya.

"Apakah punca kematian? Adakah majistret tempatan dimaklumkan, dan jika tidak, mengapa? Adakah pihak berkuasa tidak berminat untuk tahu?"

Pada 20 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata 264 daripada tahanan yang maut adalah lelaki manakala 34 lagi adalah wanita.

Bercakap di Dewan Rakyat, Hamzah berkata 154 kematian membabitkan tahanan warga Indonesia dan Filipina di depoh imigresen Sabah.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata Hamzah tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai ratusan kematian yang berlaku dan menambah bahawa menteri itu bercakap "seolah-olah kematian seperti itu adalah rutin dan tidak perlu dijelaskan kepada orang ramai, keluarga mangsa dan negara asal mereka".

"Pendedahan ini dibuat sebulan selepas memberi ulasan yang tidak peka dengan perasaan orang mengenai kematian hampir 150 warga Indonesia di pusat tahanan di Sabah, di mana dia menepis perkara dengan menganggapnya sebagai kejadian yang biasa berlaku, mengataka ‘Jika saya tahu seseorang akan mati dan tidak meletakkan mereka dalam tahanan, saya akan menjadi hebat’,” tambah Zaid.

Memetik Seksyen 329 dan 330 Kanun Prosedur Jenayah, Zaid berkata polis bertanggungjawab untuk menyiasat kematian sedemikian dan mengarahkan pemeriksaan bedah siasat.

"Kematian dalam tahanan adalah perkara yang serius dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja tanpa siasatan sewajarnya, terutama ketika jumlah korban mencecah ratusan," katanya.

Beliau turut berkata kerajaan mempunyai kewajipan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua individu, tanpa mengira kewarganegaraan mereka. 

Beliau menambah cadangan “penyelesaian tanpa berfikir panjang” seperti menambah baik kaedah deportasi tidak cukup untuk menyelesaikan isu itu.

"Punca kematian mesti dikenal pasti, dan penambahbaikan, ganti rugi atau prosiding jenayah mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab terhadap  kematian mana-mana tahanan."

Zaid juga merujuk tindakan Indonesia membekukan kemasukan warganya ke Malaysia, berkata kematian yang tidak dapat dijelaskan hanya akan memburukkan hubungan Malaysia dengan negara lain di mana warga mereka meninggal dunia dalam tahanan kerajaan.

Beliau turut memetik Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2022 yang dikeluarkan Jabatan Negara AS, mengatakan kedudukan Malaysia yang sekali lagi disenaraikan pada tahap terendah dalam laporan itu adalah “tidak mengejutkan”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.