Warga Singapura Nazeri Lajim dihukum gantung pagi ini, menjadikannya pelaksanaan hukuman mati terbaru selepas beberapa pelaksanaannya terhadap pesalah dadah di republik itu walaupun kecaman terhadap penggunaan undang-undang tersebut semakin meningkat.
Nazeri dihukum gantung pada pukul 6 pagi tadi di Penjara Changi Singapura, dan ahli keluarganya sedang menguruskan pengambilan jenazah dan urusan pengebumian juga sedang dijalankan.
Aktivis anti hukuman mati Kokila Annamalai dalam sebuah hantaran Twitter mengesahkan sembahyang jenazahnya akan di adakan pada pukul 10 pagi ini.
"Kemudian, Nazeri akan dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid Al-Firdaus, 11 Jalan Abadat."
Nazeri, 64, dijatuhi hukuman mati pada 2017, lima tahun selepas dia ditahan bersama dua bungkusan mengandungi heroin.
Nazeri adalah salah seorang dari 17 banduan bilik akhir yang memfailkan saman terhadap kerajaan Singapura, menuduhnya melakukan diskriminasi kaum dan berat sebelah dalam pendakwaan berdasarkan etnik Melayu mereka.
Saman itu ditolak akhir tahun lalu di mana hakim menyifatkannya sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.
Peguam negara Singapura juga turut mendakwa dua peguam yang mewakili mereka di mahkamah, di mana mereka diperintah membayar kos kerana memfailkan saman "tanpa persetujuan".
Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonannya untuk mengenepikan pelaksanaan hukumannya bagi memberi laluan semakan kehakiman berkait hak perlembagaannya untuk mendapatakan layanan setara.
Dalam rayuan terakhirnya semalam, Nazeri terpaksa membela diri selepas tiada peguam yang tampil untuk mewakilinya di mahkamah, di sebalik ketakutan yang wujud dalam kalangan pengamal undang-undang Singapura.
Bagaimanapun, hakim berkata keputusan mahkamah adalah muktamad.