Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah intip dan hendap dikenali sebagai "anti-stalking law" dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata, buat masa ini, RUU tersebut berada di peringkat perincian terakhir di Jabatan Peguam Negara.
“Ssaya akan buat taklimat bersama ahli-ahli Parlimen serta Senator pada minggu depan mengenai RUU tersebut.
“Kita akan berikan pemakluman dan status terkini juga dengan semua pemegang taruh yang terlibat. Ia dilihat seiring dengan RUU anti gangguan seksual, kalau dapat dibentangkan tahun ini saya akan gembira sekali,” katanya kepada media selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 semalam.
Beliau berkata RUU yang bakal diperkenalkan itu dijangka mampu melindungi mangsa khususnya wanita, daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.
“Dengan lulusnya RRU ini, ramai mangsa akan berani tampil ke hadapan selain ini hadiah buat mereka. Ini adalah sebahagian isu keselamatan yang kita boleh beri harapan kepada mangsa,” katanya.
Katanya, hasil daripada persidangan meja bulat yang berlangsung hari ini turut menggesa agar RUU berkaitan jenayah intip dan hendap itu dipercepatkan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun berkata, tiga resolusi dicapai melalui persidangan sama melibatkan kluster kepimpinan, kluster perundangan dan kluster sosioekonomi.
“Resolusi ini akan diserahkan kepada kerajaan bagi menambah baik dasar dan pelaksanaan termasuk Belanjawan 2023,” katanya.
Persidangan tersebut dianjurkan oleh Wanita Perikatan Nasional (PN) dihadiri oleh 75 wakil badan-badan bukan kerajaan dan orgasasi termasuk individu profesional.