- Iklan -
Berita

Terus laksana hukuman mati, Singapura ‘tidak hiraukan nyawa’, kata Amnesty

Kenyataan tegas Amnesty dikeluarkan beberapa jam selepas Singapura melaksanakan hukuman mati kelimanya tahun ini.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengawal penjara bersenjata api berdiri di pintu masuk Penjara Changi di Singapura. Gambar: AFP
Seorang pengawal penjara bersenjata api berdiri di pintu masuk Penjara Changi di Singapura. Gambar: AFP

Organisasi hak asasi global Amnesty International menggesa masyarakat dunia untuk meningkatkan tekanan terhadap Singapura berhubung pelaksanaan hukuman mati pada hari yang sama republik itu menggantung sampai mati Nazeri Lajim, beberapa jam selepas sendirian merayu untuk terus hidup di depan hakim tanpa ditemani peguam.

“Kami gesa kerajaan-kerajaan, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Badan Kawalan Dadah Antarabangsa untuk meningkatkan tekanan terhap Singapura agar perlindungan mengenai hukuman mati dihormati dan polisi kawalan dadah dirujuk  dalam mempromosi dan melindungi hak manusia. 

“Pendekatan punitif Singapura tidak melambangkan demikian,” kata pakar Amnesty mengenai hukuman mati, Chiara Sangorgio.

Beliau berkata hukuman mati Singapura yang dilaksanakan secara mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah adalah bertentangan dengan piawaian dan undang-undang hak asasi antarabangsa.

“Semua yang digantung di Singapura pada 2022 dijatuhi hukuman mati mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah. 

“Daripada menjadi pencegah unik terhadap jenayah, pelaksanaan hukuman mati itu hanya menunjukkan betapa pihak berkuasa Singapura tidak menghiraukan hak asasi manusia dan hak untuk hidup," kata Sangorgio.

Warga Singapura Nazeri yang berusia 64 tahun yang terjebak dengan ketagihan dadah sejak berumur 14 tahun menjalani hukuman gantung sampai mati pagi tadi di Penjara Changi. 

Ia merupakan pelaksanaan hukuman mati kelima dijalankan pada tahun ini walaupun negara itu menerima kecaman antarabangsa kerana meneruskan pelaksanaannya.

Pelaksanaan hukuman itu juga dijalankan sehari selepas Nazeri merayu di hadapan hakim Singapura untuk memberikan lebih banyak masa untuk berjumpa dengan ahli keluarga sebelum hukumannya.

Nazeri terpaksa membela diri sendiri ekoran suasana takut dalam kalangan pengamal undang-undang Singapura sehingga mereka tidak mahu mewakili banduan bilik akhir sepertinya, di mana ramai peguam yang berbuat demikian kehilangan lesen amalan guaman mereka dan didenda.

Kerajaan Singapura diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) menolak kritikan terhadapnya dan mempertahankan undang-undang hukuman mati sejak ia keluar dari Malaysia, mengatakan ia berkesan mengawal jenayah dadah.

Bagaimanapun dasar kerajaan itu tidak dikongsi oleh ramai warga Singapura, di mana mereka mula menganjurkan protes mansuh hukuman mati sejak kebelakangan ini.

Pengkritik turut berkata kebanyakan mereka yang dihukum mati di bawah undang-undang dadah Singapura adalah keldai dadah dan berasal dari keluarga susah, di mana pandangan itu turut dikongsi taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson yang turut secara peribadi merayu pengampunan diberikan kepada seorang banduan kurang upaya warga Malaysia yang dihukum mati.
 
Amnesty berkata hukuman mati tidak pernah menjadi pencegah jenayah, sambil menambah ia hanya menunjukkan “pihak berkuasa Singapura langsung tidak menghiraukan hak asasi dan hak untuk hidup".

“Tidak selari dengan trend dunia ke arah pemansuhan hukuman mati, Singapura menjadi salah satu dari empat negara yang diketahui menggantung pesalah berkaitan dadah sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.