- Iklan -
Berita

Kedai ubat tradisional Sarawak dapat sambutan selepas pandemik Covid-19

Bagaimanapun pengeluaran herba tempatan berkurangan menyebabkan ramai yang bergantung kepada barangan import.

Nur Shazreena Ali
4 minit bacaan
Kongsi
Kedai ubat tradisional di Sarawak menjadi pilihan alternatif perubatan bagi merawat gejala Covid-19 di Sarawak selepas pandemik.
Kedai ubat tradisional di Sarawak menjadi pilihan alternatif perubatan bagi merawat gejala Covid-19 di Sarawak selepas pandemik.

Setiap kali diserang demam selesema, Uncle Chang tahu apa yang perlu dibuat. 

Air akan dipanaskan di atas dapur dan dia akan memasukkan herba pilihannya ke dalam cerek dan menunggu teh herbanya mereneh.

Selepas renehan herbanya mendidih, dia menuang teh herba itu dalam teko dan menghirupnya sepanjang hari.

Selepas hampir lapan dekad mengusahakan kedai teh herba tradisional berhampiran pusat bandar Kuching, Chang amat mahir mengenai tumbuhan dan daun yang paling sesuai untuk merawat penyakit tertentu.

Dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya membuat teh herba, di mana bapanya yang datang dari China pada 1930 merupakan gurunya yang pertama.

Kini Chang meneruskan operasi kedai Teh Herba Tradisional Khee Hiang yang masih kekal di Jalan Padungan, Kuching sejak diasaskan pada 1946.

Di kedai tersebut, mereka mereneh teh herba menggunakan formula yang diwariskan dalam keluarga dari generasi ke generasi.

Setiap pagi, Chang menghabiskan tiga jam di dapur, menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk empat jenis teh herba utama mengikut tahap rasanya: Ba Xian Cha (tidak pahit), Qing Ku Cha (agak pahit), Feng Huo Cha (sangat pahit), dan Pei Yao Cha. 

Semasa sibuk menyiapkan teh, anaknya yang membantunya di kedai itu akan membungkus stok herba mereka untuk dijual.

Harga setiap pek bungkusan adalah antara RM1.50 hingga RM10, bergantung kepada preskripsi dan campuran herba.

Seperti kebanyakan perniagaan lain di seluruh negara, kedai herba itu juga turut mengalami kesan pandemik Covid-19, terutama pada fasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan pelanggan tidak dapat datang ke kedai mereka.

"Semasa PKP, kami terpaksa tutup kedai," kata Chang.

"Kami hanya boleh jual ubat kepada pelanggan tetap yang biasa menghubungi saya untuk membuat pesanan."

Namun selepas sekatan pergerakan dilonggarkan, dan perniagaan mereka mula pulih sedikit demi sedikit dan perniagaan mula bertambah baik, Chang menyedari ada perubahan terhadap pelanggan yang datang ke kedainya.

Sebelum pandemik, kebanyakan pelanggannya adalah daripada kalangan warga emas walaupun ada juga pelanggan muda, namun kini, dia mendapati ramai orang muda yang datang ke kedainya terutama ketika mahu merawat gejala penyakit Covid-19.

Bercakap kepada MalaysiaNow, anaknya, Nolan berkata mereka tidak putus-putus menerima pelanggan sejak Sarawak menyaksikan peningkatan kes pada April lalu.

"Kini, mereka turut datang untuk dapatkan teh herba ini juga," katanya.

“Trend ini terus meningkat, terutama sejak Mac dan April tahun ini apabila kes Covid-19 mula meningkat. Saya agak terkejut juga.”

Menurut Nolan, kedainya kini turut menjual campuran herba menggunakan platform GrabFood, dan pesanan juga turut meningkat.

"Jumlah pelanggan yang memesan teh herba kami melalui Grab meningkat sejak April lalu,” kata Nolan.

Situasi yang sama turut berlaku di sebuah lagi kedai ubat tradisional Cina di bandar itu.

Winston, yang mengendalikan Kedai Ubat Kok Ann di Jalan Carpenter turut berkata pelanggannya semakin meningkat.

Katanya, kebanyakan mereka membeli herba, tonik dan makanan tambahan untuk meningkatkan sistem imuniti tubuh bagi mengekalkan kesihatan pernafasan.

Winston menambah pelanggan juga turut memesan herba Cina seperti lingzhi dan cordyceps, selain sup tonik herba untuk melegakan paru-paru dan merawat batuk.

"Kami menerima lebih ramai pelanggan yang mencari makanan tambahan tradisional Cina," katanya Winston.

“Pelanggan yang pesan ubat, umur mereka dari 18 hingga 70 tahun."

Pemulihan Covid-19

Kebanyakan pelanggan datang ke kedai mereka untuk mendapatkan ubat bagi mengurangkan suhu badan yang tinggi dan meningkatkan sistem imuniti tubuh selepas dijangkiti Covid-19.

"Daripada mengambil vitamin, mereka mahu ubat herba," tambah Winston.

Di kedainya, herba-herba yang sering dipesan pelanggan dijual dalam bungkusan pelbagai saiz. 

Antaranya, beri merah di mana ia dijual dengan harga RM12 bagi bungkusan bersaiz sederhana.

“Ia bergantung kepada apa yang pelanggan mahu," kata Winston. 

"Jika mereka ingin beli lebih banyak untuk disimpan sebagai stok, mereka boleh beli bungkusan yang lebih besar."

Jenis ubat juga bergantung kepada faktor seperti keadaan pelanggan, umur, jantina dan jenis badan.

"Biasanya mereka mempunyai preskripsi mereka sendiri, " kata Winston. 

“Kadang-kadang ia bergantung kepada tahap keadaan mereka.

“Namun saya tidak boleh tetapkan ramuan khusus untuk mereka yang pulih daripada Covid-19 kerana setiap pesakit berbeza dan mempunyai sistem imuniti yang berbeza."

MNow-ChineseTraditionalMedicine-02-2

Walaupun untuk penyakit biasa, pengalaman selama beberapa tahun diperlukan untuk mengetahui herba yang paling berkesan untuk pesakit. 

Menurutnya, dalam satu bungkusan herba Pe Yo Chao yang digunakan untuk mengurangkan dan menyeimbangkan suhu badan terdiri dari lapan atau sembilan jenis herba, daun kering dan akar.

Sementara herba Ji Gu Cho yang membantu menghilangkan panas ulu hati pula mengandungi empat jenis herba.

Kebanyakan herba di kedai Winston diimport dari China dan Taiwan walaupun ada juga yang diperolehinya daripada pasaran tempatan di semenanjung. 

Bagaimanapun, katanya, herba tempatan sukar diperolehi kerana ia tidak disediakan dalam kuantiti yang banyak.

Secara umumnya, bekalan herba di kedainya masih mencukupi walaupun kadangkala pelanggan terpaksa menunggu beberapa minggu untuk mendapat stok baru.

Dan seperti barangan lain, harga herba juga turut meningkat ketika ini.

Menurut Winston, dia masih mampu menampung kos yang semakin meningkat setakat ini, namun bimbang jika dia terpaksa menaikkan harga akibat lebihan kos yang terpaksa ditanggung.

“Kami biasanya pesan stok secara pukal, jadi buat masa ini stok masih cukup,” katanya.

“Cuma saya dengar stok yang baru harganya naik agak tinggi."

Nolan berkata, kali terakhir kedainya menaikkan harga adalah pada 2015.

“Cuma saya fikir kami tidak lagi dapat tampung tahap harga itu lebih lama lagi," katanya. 

"Saya mungkin terpaksa naikkan harga."

Hasil hutan Sarawak

Kebergantungan kepada herba import antara lain berpunca daripada kekurangan pengeluaran industri herba tempatan di Sarawak.

Walaupun kaya dengan hasil biodiversiti, pengeluaran herba tempatan masih dalam skala kecil.

Naib Setiausaha Persekutuan Tabib dan Perubatan Cina Sarawak Albert Lee Joo Hee berkata banyak herba yang diperlukan kedai tradisional boleh diperolehi di hutan Sarawak sendiri.

"Tetapi kita tidak ada kilang untuk proses," tambahnya. 

"Inilah bahagian yang paling mencabar."

Presiden Persekutuan Perubatan Komplimentari dan Tabib Tradisional Sarawak Dr Tan Kit Weng turut bersetuju.

Tan, yang berpengalaman lebih 46 tahun dalam bidang itu berkata hutan Sarawak perlu diteroka untuk mendapatkan hasil hutan bagi pengeluaran herba tempatan.

"Buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh digunakan, bahkan rumput,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata pembangunan industri herba tempatan akan memberi manfaat kepada pengamal tradisional di Sarawak.

“Zaman dulu, kira-kira 100 tahun dulu ketika kita tiada doktor dan hospital, penduduk kampung bergantung dengan perubatan tradisional untuk merawat penyakit,” katanya.

"Mereka menggunakan herba dan teknik yang berbeza. Tidak kira jenis perubatan tradisional, sama ada Cina, Iban, Melanau, Bidayuh atau Melayu – setiap etnik mempunyai teknik tersendiri."