Jackie tidak menyangka lawatan ke Taman Burung Kuala Lumpur pada tahun lalu akan mengubah minatnya.
Seumur hidupnya, lelaki itu tidak pernah merasa minat dengan burung, apatah lagi membelanya.
Di taman itu, pelbagai jenis burung dipamerkan.
Ada burung berada dalam sangkar, manakala selebihnya bebas terbang dalam kawasan taman.
Dari situ, timbul minatnya terhadap burung kakak tua.
Kemudian dia bertemu dengan komuniti “Free Fly”yang menambahkan lagi minatnya terhadap haiwan itu.
"Free Fly banyak mengajar bagaimana bermain dengan burung.
“Sekarang, sudah dua tahun saya bermain dengan burung," katanya kepada MalaysiaNow.
Jackie antara puluhan ahli Free Fly yang menumpahkan keringat, wang dan masa untuk membela burung.
Ia dimulakan oleh beberapa peminat pada Julai 2017 di Elmina, Shah Alam Selangor.
Menerusi komuniti itu, pembela burung tidak hanya sekadar menyimpan burung-burung mereka dalam sangkar seperti ramai pembela burung lain.
Sesekali, mereka akan melepaskan burung untuk terbang bebas.
Haiwan avian itu kemudian akan kembali kepada tuan masing-masing.
Memandangkan tidak banyak spesies burung yang boleh dilatih untuk pulang semula kepada pemilik apabila dilepaskan, maka kumpulan tersebut memilih baka kakak tua yang terkenal sebagai burung peliharaan dan mampu hidup dengan manusia.
Aktiviti-aktiviti seterusnya membolehkan komuniti itu menambah ahli.
Selepas perintah kawalan pergerakan, ahli komuniti memulakan aktiviti terbang bebas di kawasan dan negeri masing-masing.
Syimir Ahmad Safawi dari Parrot Mall berkata, memelihara burung hampir sama dengan membela kucing atau anjing.
Kosnya murah dan mampu milik, meskipun ada harga burung yang mampu mencecah RM100,000.
"Burung-burung ini cukup senang dijaga, kerana makanannya ialah apa yang sering dimakan oleh manusia, seperti buah-buahan, kacang, dan lain-lain.
“Harga makanan burung dalam lingkungan RM100 ke RM150 sekampit, dan ia mampu bertahan sehingga dua bulan," katanya.
Parrot Mall merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan latihan dan konsultasi berkaitan burung kakak tua.
Katanya, kebanyakan pelanggan syarikat merupakan pemilik yang ingin tahu bagaimana melatih burung dan cara menyelesaikan masalah berkaitan pemeliharaan burung.
Antara aspek kesihatan yang diambil kira ialah penjagaan kuku bagi mengelakkan kuku terlebih panjang, dan jangkitan kutu.
"Saya pernah membela kucing, tetapi kakak tua memerlukan lebih banyak perhatian.
“Kucing lebih gemar bersendirian dan berehat, tetapi kakak tua mahu bermain setiap masa," katanya.
Bergantung kepada saiz dan jenis, harga kakak tua berada dalam lingkungan RM150 sehingga rm100,000 termasuk permit.
Komuniti Free Fly akan bertemu setiap minggu untuk mengadakan aktiviti terbang bebas di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor yang sesuai untuk tujuan itu.
Ada pemilik burung yang sanggup datang dari Johor dan Melaka bagi menyertai aktiviti itu.
Salah seorangnya ialah Mohd Fauzi yang datang dari Melaka.
Katanya, perjumpaan dengan ahli-ahli komuniti yang lain membolehkan mereka menimba ilmu baru dalam pemeliharaan burung.
Bagi Syimir, Free Fly bukan sekadar melepaskan burung ke udara semata-mata.
"Apa yang kita buat sekarang ini lebih kepada mendalami hobi menjaga kakak tua dan memberi pendedahan kepada orang lain.
"Dahulu, orang hanya bela burung dalam sangkar.
“Sekarang kita bela burung yang ada potensi untuk terbang dan kembali kepada pemilik dalam keadaan selamat," katanya.