- Iklan -
Berita

Kos sara hidup semakin tinggi, warga Felda kembali rasa terabai

Peneroka Felda berkata mereka tidak kejar kemewahan, hanya mahu tingkatkan kualiti hidup.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Berita kenaikan elaun pengerusi Felda baru-baru ini mengecewakan peneroka di Felda Palong Dua, Gemas, Negeri Sembilan, ketika mereka bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
Berita kenaikan elaun pengerusi Felda baru-baru ini mengecewakan peneroka di Felda Palong Dua, Gemas, Negeri Sembilan, ketika mereka bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Kos sara hidup yang semakin tinggi ditambah dengan pulangan hasil tuai sawit dan getah yang tidak menentu sejak beberapa tahun lalu terus memberi tekanan kepada kehidupan golongan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar.

Peneroka turut meluahkan rasa kecewa apabila mereka merasakan hubungan bersama pihak pengurusan Felda kini tidak "semeriah" dahulu dan mereka seolah-olah semakin diabaikan sejak kebelakangan ini.

Arifin Husin, bekas ketua penduduk Felda Palong Dua di Gemas, Negeri Sembilan, berkata warga peneroka merasakan begitu apabila mereka mendakwa inisiatif atau bantuan yang diturunkan oleh Felda dilihat semakin berkurang dan usaha menambah baik fasiliti penduduk tidak berjalan dengan baik.

Selain itu, beliau berkata berita mengenai kenaikan elaun pengerusi Felda Global Ventures (FGV) turut dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada warga peneroka dan menyifatkannya sebagai satu keputusan yang tidak wajar.

"Dulu apabila kita berdepan masalah atau kehidupan peneroka semakin sempit, pasti akan ada bantuan dari Felda berbentuk inisiatif atau sumbangan-sumbangan lain," katanya kepada MalaysiaNow.

Bekas ketua penduduk Felda Palong Dua Arifin Husin berkata bantuan daripada badan itu semakin berkurangan.
Bekas ketua penduduk Felda Palong Dua Arifin Husin berkata bantuan daripada badan itu semakin berkurangan.

Menurut Arifin, antara bantuan dari Felda yang dilihat berkurangan secara ketara ialah sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang mana pada masa dulu, warga peneroka akan menerima sumbangan RM1,000 setiap isi keluarga.

"Dalam dua tahun lepas tiada. Tahun ini ada dapat dalam RM300, tetapi berapa lama jumlah itu boleh bertahan dengan kos sara hidup sekarang? Apatah lagi untuk persiapan raya.

"Malah, dalam tempoh dua tiga tahun, tiada inisiatif dari pihak Felda untuk turun padang berjumpa (peneroka) berikan pandangan atau gambaran kenapa sumbangan-sumbangan ini dikurangkan," katanya.

Mengulas lanjut, Arifin berkata, ramai tidak sangka warga Felda kini berdepan kesempitan kerana mereka hanya melihat kepada prestasi harga sawit yang melonjak sebelum ini, namun tidak ramai yang tahu bahawa terdapat juga kumpulan warga peneroka yang meraih pendapatan dari hasil getah.

"Kami warga Felda ada dua kumpulan berasingan iaitu peneroka sawit dan peneroka getah.

"Masalah yang paling ketara ialah peneroka getah. Dengan pekerja yang semakin berkurang, hasil tuai menurun dan harganya juga menyusut," tambah beliau.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaNow di sekitar Felda Palong Dua mendapati penduduk di situ berdepan dengan isu masalah air terutama pada musim perayaan ketika ahli keluarga pulang beraya ke kawasan tersebut.

FeldaPalong2-MNow-210722-8

Difahamkan, isu air tersebut berlaku sejak beberapa tahun lalu dan penduduk dijanjikan masalah berkenaan akan diselesaikan menerusi pembinaan dua tangki air besar yang baru.

Menurut Abdul Rahman Ahmad, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) Felda Palong Dua, projek pembinaan yang bermula pada 2019 itu sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun, namun disebabkan keadaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, ia terhenti dan sehingga kini tidak disambung.

Disebabkan semua isu yang dihadapi golongan peneroka ini, Arifin bagi pihak penduduk di kawasan itu meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendapat tahu pengumuman mengenai kenaikan elaun oleh ahli lembaga pengarah FGV serta pengerusinya.

FGV pada 24 Jun lalu meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM), sekali gus menyaksikan elaun pengerusi bukan eksekutifnya meningkat dari RM300,000 ke RM480,000 setahun.

Ini bersamaan RM25,000 kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh setahun bermula bermula tarikh tersebut hingga AGM seterusnya.

Sementara itu, imbuhan pengarah bukan eksekutif FGV pula meningkat dari RM120,000 kepada RM150,000 setahun bersamaan dengan dari RM10,000 kepada RM12,500 sebulan.

Kenaikan ini dibantah warga peneroka yang turut meminta pihak FGV - yang merupakan entiti milik Felda menerusi pegangan 80% - meneliti semula keputusan tersebut.

FeldaPalong2-MNow-210722-4

Menjelaskan kemarahan ini, Arifin dan Rahman berkata, warga Felda bukan membantah sepenuhnya kenaikan ini, sebaliknya keputusan itu dibuat tidak sesuai dengan masanya.

Katanya ini kerana, rakyat terutama warga Felda kini sedang tertekan akibat kenaikan kos sara hidup dan apabila FGV membuat keputusan menaikkan elaun pengarah, ia disifatkan sebagai satu keputusan yang pentingkan diri sendiri.

Felda dalam satu kenyataan pada 24 Jun lalu bagaimanapun mempertahankan keputusan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tindakan wajar memandangkan elaun lembaga pengarah FGV sudah lama tidak disemak.

Malah, kenaikan itu juga dikaitkan dengan prestasi terbaik FGV yang berjaya meraih keuntungan selepas cukai RM1.175 bilion.

"Harga sawit bukan naik tiap-tiap hari. Apabila elaun naik, sudah tentu tak akan turun," kata Arifin.

"Kami terjejas bukan sebab harga sawit mula menurun tetapi harga barang yang semakin meningkat. 

"Harga ayam, minyak masak, tepung semua naik, apa peneroka nak makan?" soal beliau.

Tegas Arifin, warga Felda tidak mengejar kemewahan, namun hanya mahukan kualiti kehidupan mereka ditingkatkan.

Sekiranya capai matlamat itu, dia mengakui tidak kisah sekiranya pihak Felda atau FGV ingin naikkan elaun pengarah.

"Kami nak pergi mana lagi? Inilah kampung kami. 

"Jangan fikirkan soal keuntungan saja, tetapi juga fikirkan keadaan peneroka sebab hasil yang mereka kaut datang daripada kami," tegas beliau.

MalaysiaNow sudah menghubungi Felda untuk mendapatkan respons.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.