- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat dijangka bahas isu perjanjian baru ganti MA63 hari ini

Isu penipuan badal haji dan penyelesaian banjir di Kedah juga dijangka akan dibangkitkan ahli Parlimen.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Cadangan perjanjian baru untuk menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 dijangka menjadi agenda perbahasan Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Cadangan perjanjian baru untuk menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 dijangka menjadi agenda perbahasan Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Perihal berhubung cadangan beberapa ahli politik untuk mewujudkan perjanjian baru bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bakal menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan mengenai perkara itu akan diajukan Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) pada sesi pertanyaan, selain implikasi kepada Wilayah Sabah dan Sarawak sekiranya MA63 dibatal dan digantikan dengan perjanjian baharu. 

Turut tersenarai, soalan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang meminta menteri tenaga dan sumber asli menyatakan kaedah penyelesaian bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas Baling di Kedah berikutan insiden kepala air yang berlaku baru-baru ini.

Pada sesi soal jawab pula, Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) akan mengajukan soalan kepada menteri pelancongan, seni dan budaya mengenai tindakan kerajaan terhadap pihak yang menawarkan perkhidmatan badal haji pada harga tidak munasabah dengan kebanyakannya bermotifkan penipuan serta usaha memastikan perkara itu dibanteras secara menyeluruh.

Selain itu, Tengku Zulpuri Raja Puji (PH-Raub) mahu menteri kewangan menyatakan langkah berkesan menangani kemerosotan ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit serta kenaikan kos kehidupan yang semakin ketara.

Dewan Rakyat juga bakal tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 bacaan kali pertama.

Selain itu, sesi perbahasan melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 bagi bacaan kali kedua.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.