- Iklan -
Berita

1MDB dapat kebenaran serah writ saman kepada kakak, adik lelaki Jho Low

May Lin kini berada di Singapura manakala Taek Szen di Hong Kong berdasarkan alamat terakhir mereka yang diketahui.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Skandal 1MDB merupakan subjek siasatan Jabatan Kehakiman AS sejak 2016 bagi mendapatkan semula berbilion dolar AS yang diselewengkan daripada dana kerajaan Malaysia itu. Gambar: AFP
Skandal 1MDB merupakan subjek siasatan Jabatan Kehakiman AS sejak 2016 bagi mendapatkan semula berbilion dolar AS yang diselewengkan daripada dana kerajaan Malaysia itu. Gambar: AFP

1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini bagi menyerahkan writ saman berjumlah AS$3.7837 bilion kepada kakak dan adik lelaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini berada di luar negara.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili 1MDB, berkata May Lin berada di Singapura manakala adik lelakinya, Taek Szen di Hong Kong berdasarkan alamat terakhir mereka yang diketahui.

"Oleh itu, mahkamah memberi kebenaran untuk membuat penyerahan writ saman di luar Malaysia," katanya ketika dihubungi selepas prosiding di hadapan hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz secara dalam talian hari ini.

Menurut Siva Kumar pengurusan kes saman tersebut ditetapkan pada 23 Ogos di hadapan penolong kanan pendaftar Haslinda A. Raof secara e-Review.

Pada 29 Disember 2021, Low; bapa beliau Larry Low Hock Peng dan ibunya Goh Gaik Ewe selaku defendan telah memasukkan kehadiran dalam kes saman itu manakala writ saman berkenaan masih belum dapat diserahkan kepada seorang lagi defendan iaitu rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta dari Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion dari Low dan Tan serta US$325 juta dari Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut US$630 juta dari Hock Peng, Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta dari May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta dari Goh, Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta dari Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.