- Iklan -
Berita

Indonesia tarik balik pembekuan tenaga kerja ke Malaysia pada 1 Ogos

Sistem pengambilan pekerja domestik Indonesia akan diintegrasikan dan menjadi saluran tunggal kemasukan tenaga kerja dari negara itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pembekuan pekerja dari Indonesia memberi kesan kepada pemain industri terutama dalam sektor perladangan dan pembuatan.
Pembekuan pekerja dari Indonesia memberi kesan kepada pemain industri terutama dalam sektor perladangan dan pembuatan.

Indonesia akan menarik balik sekatan kemasukan tenaga kerjanya ke Malaysia berkuatkuasa 1 Ogos, dengan sistem pengambilan sedia ada pekerja perkhidmatan domestik Indonesia (PDI) diintegrasi antara Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata integrasi sistem itu akan berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia seperti yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman PDI (MOU PDI) sebelum ini.

"Sistem ini akan beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia," katanya dalam kenyataan bersama rakan sejawat Indonesia Ida Fauziyah.

Beliau berkata satu projek rintis akan dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik integrasi sistem selesai bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar,

"Oleh yang demikian, pihak Indonesia bersetuju untuk menarik kembali sekatan kemasukan PDI dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bermula 1 Ogos," kata Saravanan.

Pada 13 Julai, Indonesia memaklumkan mengenai keputusan membekukan sementara kemasukan semua pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang dipersetujui sebelumnya.

Ini berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO) dalam urusan permohonan pembantu rumah warga asing oleh majikan, biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu OCS menerusi MoU PDI yang dicapai pada April lepas.

Saravanan percaya penyelesaian isu-isu dalam MOU PDI ini akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing.

Justeru beliau mengingatkan majikan yang mana kuota pekerja warga asing mereka telah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk segera membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen Malaysia. 

Saravanan berada di Jakarta sempena mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia sebagaimana yang digariskan dalam MOU PDI yang telah selesai bersidang pada Rabu (27 Julai).

Mesyuarat itu telah membincangkan isu-isu dasar dan teknikal dalam pelaksanaan MOU PDI yang telah ditandatangani pada 1 April 2022.

Terdahulu, Ida berkata persetujuan bersama tentang langkah-langkah yang diperlukan penting untuk memastikan pelaksanaan MoU secara menyeluruh khususnya sistem satu saluran (OCS) .

Sebelum ini, Kumpulan Kerja Bersama itu telah menemui beberapa isu pelaksanaan daripada segi dasar dan teknikal yang boleh menjejaskan pelaksanaan MoU.

"Kami setuju untuk mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memastikan norma dan prosedur yang ditetapkan dalam MoU dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak dengan melibatkan agensi atau lembaga berkaitan dalam pemerintahan memasing-masing," katanya.

Beliau berkata keberkesanan pelaksanaan daripada komitmen yang dibuat dalam MoU itu juga penting sebelum Indonesia menghantar semula PDI ke Malaysia Ogos nanti.