- Iklan -
Berita

Kerajaan, pembangkang setuju tidak perlu MoU baru, kata PM

Bagaimanapun Ismail Sabri Yaakob berkata persefahaman tanpa bertulis demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik masih boleh diteruskan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam acara tandatangan MoU bersama pembangkang pada September 2021 bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan dan pemimpin DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam acara tandatangan MoU bersama pembangkang pada September 2021 bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan dan pemimpin DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa perjanjian bertulis yang baru bagi menggantikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada September 2021 adalah tidak perlu.

Bagaimanapun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata persefahaman tanpa bertulis demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik masih boleh diteruskan.

“Soal sambung atau tidak (MoU) tidak penting, yang penting adalah persefahaman untuk kepentingan rakyat diteruskan.

“Kita sama-sama setuju bahawa tidak perlu perjanjian baru secara bertulis, tetapi persefahaman untuk kepentingan rakyat bagi menjamin kestabilan politik, boleh teruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam.

Sementara itu katanya beberapa perkara dalam MoU antara kerajaan persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH), tetap akan dilaksanakan, seperti mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dan undang-undang pendanaan politik.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata beliau akur dengan keputusan parti itu agar tidak meneruskan perjanjian dan telah menyampaikan perkara berkenaan ketika perjumpaan bersama ketua parti-parti pembangkang baru-baru ini.

Ditanya mengenai tarikh tamat MoU berkenaan, Ismail berkata MoU itu sebenarnya hanya tamat apabila Parlimen dibubarkan.

Katanya MoU yang ditandatangani itu hanya menyebut pilihan raya umum tidak boleh diadakan sebelum 31 Julai ini dan bukan mengenai tarikh luput perjanjian.

Beliau juga menegaskan pembubaran Parlimen tidak bergantung pada mana-mana perkara dan ia akan dibubarkan apabila tiba waktunya.

“Apabila saya anggap ia sampai waktu untuk bubar, saya bubarkan (Parlimen), sama ada tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Pada 13 September 2021, kerajaan persekutuan dan PH memeterai MoU itu bagi membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi aspek pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaruan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.