- Iklan -
Berita

Orang Melayu perlu keluar dari perangkap kesetiaan pada parti, kata Dr Mahathir

Menurut bekas perdana menteri itu, sistem demokrasi kelihatan berkesan di negara-negara lain namun tidak di Malaysia ekoran sikap kesetiaan terhadap satu-satu parti politik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad menggesa masyarakat Melayu untuk membuang kesetiaan yang terlalu mendalam terhadap parti politik pilihan mereka sehingga tidak boleh membezakan antara baik dan buruk.

Bekas perdana menteri itu berkata, sistem demokrasi yang mempunyai pelbagai parti politik kelihatan berkesan di negara-negara lain namun tidak di Malaysia ekoran sikap kesetiaan terhadap satu-satu parti politik. 

"Sistem parti ini berkesan di negara lain tetapi kita dapati ikatan dan sokongan (penyokong mereka) tidak sebegitu keras seperti di Malaysia.

"Kita tidak peduli tentang apa yang diperjuangkan asalkan itu ialah parti kita," katanya dalam satu forum Penjenamaan Naratif Politik Melayu di Seri Kembangan, Selangor hari ini.

Forum tersebut yang dianjurkan sekumpulan cendekiawan Melayu membincangkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat itu pada masa kini. 

Menurut pengerusi Pejuang itu, situasi kaum Melayu pada hari ini berpecah mengikut parti politik, berbeza ketika mereka bersatu bagi menentang British sebelum era kemerdekaan. 

"Tetapi selepas kemerdekaan, yang ditumpu bukan kepada kemajuan bangsa untuk menjadi setaraf dengan bangsa lain, tetapi kepentingan parti.

“Parti ditubuh untuk mendapat sesuatu bagi diri mereka. Kesetiaan kepada parti begitu kuat," tambahnya.

Mahathir bersama-sama seorang lagi bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin menubuhkan Bersatu selepas kedua-duanya meninggalkan dan dipecat Umno pada era pemerintahan Najib Razak.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya tumbang, Mahathir dan beberapa bekas pemimpin Bersatu menubuhkan Pejuang.

Sokongan orang Melayu diketahui secara umum menjurus kepada beberapa parti politik seperti Umno, PAS dan Bersatu. 

Umno dan PAS memegang sejumlah besar sokongan orang Melayu dari segi politik. 

PKR dan Amanah tidak begitu mendapat tempat dalam kalangan orang-orang Melayu dan bergantung kepada pengundi bukan Melayu di bawah naungan DAP.

Mahathir berkata demikian mengulas sokongan masyarakat Melayu dilihat masih kekal dengan parti politik yang terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah seperti Umno. 

Ia dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila Umno menerusi Barisan Nasional (BN) menang besar manakala Pejuang gagal memperoleh sebarang kerusi. 

Terdahulu, Mahathir dalam sesi soal jawab berkata politik wang antara punca mengapa sesetangah parti masih mendapat sokongan.

"Bila kita minta mereka undi kita, mereka tanya apa yang mereka boleh dapat?" katanya. 

Pejuang antara parti yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. 

Parti serpihan Bersatu itu dijangka akan bergerak solo setelah menolak khemah besar PH.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.