Syarikat tembakau di Malaysia memulakan kempen dengan cara menghantar surat kepada media, dalam usaha menggagalkan rang undang-undang (RUU) Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk menghapuskan tabiat merokok, MalaysiaNow difahamkan.
Menggunakan pelbagai nama samaran, beberapa surat itu memberikan penghujahan yang seakan-akan "objektif" untuk menentang “generasi penamat rokok” yang diusahakan kementerian, dan ada juga daripada surat itu mempersendakan perjuangan Khairy untuk mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat dalam pembentangan RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Kawalan Merokok.
"Penulisan surat adalah bentuk perang media yang paling murah, namun ia satu cara efektif, lebih kurang sama, dengan iklan kandungan berjenama mahal yang biasanya dikeluarkan syarikat di akhbar dan laman sesawang dalam talian," kata seorang individu kepada MalaysiaNow yang mendakwa dia diupah oleh syarikat tembakau tertentu untuk mendekati saluran media tempatan.
"Kandungan berjenama" dimaksudkan individu itu ialah artikel dan iklan bertulis yang berbayar dan ia diletakkan dalam akhbar, yang kini menjadi trend dalam kalangan syarikat di seluruh dunia selepas era pemasaran jenama secara terus terang semakin tidak popular.
“Namun, kelemahan kandungan berjenama sedemikian ialah nama penaja perlu disebut di bahagian bawah artikel atas alasan ketelusan,” kata penulis yang hanya mahu dikenali sebagai Ting kepada MalaysiaNow.
"Ia adalah sesuatu yang tidak dibenarkan kepada syarikat tembakau untuk lakukan."
Malaysia melarang semua bentuk iklan oleh syarikat tembakau, termasuk iklan secara samaran seperti penajaan acara atau peluasan nama jenama, di mana produk bukan tembakau menggunakan nama jenama rokok.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, beberapa portal berita mengeluarkan surat yang sama dalam bahasa Inggeris dan Melayu, mengkritik rancangan Khairy dan pada masa yang sama berhati-hati supaya tidak dilihat mempromosi tabiat merokok.
Dalam satu surat yang diterbitkan oleh laman berita tempatan, ia mengatakan RUU itu "disusun dengan cara yang tergesa-gesa yang melambangkan projek Malaysia yang tidak difikirkan dengan baik dan menunggu untuk meletup".
“Padahal tidak perlu tergesa-gesa mengenainya. Untuk laksanakan larangan merokok di kedai makan dengan berkesan pun kita tidak berjaya, bagaimana mungkin kita dapat laksanakan rancangan yang lebih bercita-cita tinggi dengan memperkenalkan generasi penamat rokok, yang belum pernah dilakukan di negara lain dalam dunia?
“Tidak mahu dikatakan sebagai pembela tembakau, saya ingin nyatakan dengan jelas bahawa saya menyokong sepenuhnya usaha membendung tabiat merokok atas sebab kesihatan. Namun apa yang saya tentang ialah sikap tergesa-gesa yang tidak difikirkan dengan baik, di mana ia mungkin memberi tamparan kepada kita pada masa akan datang."
Dalam pada itu, tindakan melobi oleh syarikat tembakau juga turut dilakukan ke Dewan Rakyat, di mana Khairy membentangkan RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan pertama semalam.
Kehadiran pelobi syarikat tembakau itu turut diselar pakar perubatan yang terlibat dalam merangka dasar anti merokok Kementerian Kesihatan (KKM).
Dr Helmy Haja Mydin mengecam kehadiran mereka di Parlimen, dan mengingatkan ahli Parlimen tentang kewajipan mereka terhadap kesihatan awam.
"Apa yang mereka buat di sini?" soal Helmy, pakar respiratori di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, yang juga bertindak sebagai penasihat kepada KKM mengenai undang-undang tembakau dan merokok.
"Ini secara jelas memberi kesan terhadap proses demokrasi kita, dan bertentangan dengan peraturan FCTC. Saya menyeru semua ahli Parlimen isytiharkan jika mereka bertemu dengan pelobi ini," kata Helmy di Twitter, merujuk kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, perjanjian antarabangsa yang diterima pakai pada 2013 mengenai hak untuk mendapat taraf kesihatan yang lebih baik.
Berhubung RUU itu, ahli Parlimen dilihat tidak seiringan mengenainya, dan antara mereka yang mempersoalkannya ialah ketua pembangkang Anwar Ibrahim, yang menuduh kerajaan "memusnahkan” RUU tersebut.
Dakwaan itu mendapat kritikan daripada bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Lokman Hakim, yang berkata pemimpin PKR itu sepatutnya lebih mengetahui bagaimana sebuah RUU terbentuk kerana beliau pernah berada dalam kerajaan.
“RUU ini antara RUU yang paling lama untuk digubal di KKM dan untuk sampai tahap ini. Saya tahu kerana saya sendiri terlibat mengerakkan semula pengubalannya semasa menjawat jawatan timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) dan dirancakkan setelah kami gagal mendapatkan persetujuan Kabinet dalam tahun 2016 untuk mengharamkan vape dan sebaliknya hanya mahu ia dikawal,” katanya.
Jika diluluskan, RUU itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007.
Ia juga melarang pemilikan dan penggunaan alat merokok sebagai tembakau dan bahan merokok, dengan pesalah boleh didenda sehingga RM5,000.
Khairy berkata RUU itu adalah untuk melindungi generasi masa depan negara daripada terlibat dalam tabiat merokok dan ketagihan, dan untuk mengurangkan peratusan perokok di Malaysia kepada kurang dari 5% menjelang 2040.
Statistik kerajaan dari 2019 menunjukkan bahawa satu dari lima rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok.
Ia juga mendapati 17% daripada mereka yang berumur 13 hingga 15 tahun adalah perokok, begitu juga 9% kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.