- Iklan -
Berita

Protes jalanan kurang tarikan, tunjuk perasaan beralih ke media sosial

Walaupun protes jalanan masih dianjurkan, namun kehadiran peserta dilihat berkurangan berbanding himpunan besar-besaran yang pernah dilihat sebelum wabak Covid-19 melanda

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan berkumpul di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur ketika protes 'Turun' pada 23 Julai lalu.
Penunjuk perasaan berkumpul di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur ketika protes 'Turun' pada 23 Julai lalu.

Minggu lalu, sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.

Protes “Turun” yang berlangsung pada 23 Julai itu hanya mampu menarik 100 orang pesarta di mana Mereka mendesak lima tuntutan antaranya memotong gaji menteri dan mengawal harga barang. 

Walaupun isu perut rakyat yang diketengahkan peserta demonstrasi, jumlah peserta yang terlalu sedikit pastinya mengecewakan penganjur.

Berdasarkan pemerhatian, jumlah wartawan yang membuat liputan dikatakan lebih ramai daripada jumlah peserta. 

Sebelum ini, himpunan serupa yang mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki ditahan turut diadakan di lokasi yang sama, di mana ia dihadiri kurang 200 orang. 

Setahun lalu, sekumpulan individu membawa bendera hitam dalam satu demonstrasi di ibu kota turut diadakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengekang Covid-19 masih dilaksanakan.

Namun skala protes dan demonstrasi yang diadakan itu jauh berbeza dengan demonstrasi-demonstrasi sebelum Covid-19 melanda, sebelum kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018. 

Pemerhati politik dari Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata orang ramai mungkin terlalu penat menyaksikan pertukaran kerajaan dan perdana menteri beberapa kali sejak dua tahun lalu, selain siri-siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

"Rakyat sudah tidak ghairah, kalau dahulu semasa zaman Reformasi pada 1998, orang ramai kelihatan bersemangat,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Sekarang gelombang-gelombang itu sudah tiada.”

Beliau merujuk kepada protes besar-besaran pada tahun 1998 selepas bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan. 

Ribuan rakyat memenuhi jalan raya di Kuala Lumpur. 

Protes besar-besaran kemudian diadakan dalam siri demonstrasi Bersih yang juga mampu menarik kehadiran ribuan rakyat. 

Katanya, rakyat memberikan tumpuan kepada usaha pemulihan dan mencari rezeki selepas Covid-19. 

Walaupun sudah memasuki fasa endemik, katanya, wabak baru seperti Influenza A sedang melanda. 

Harga barang naik mendadak sejak beberapa bulan lalu yang menyaksikan barangan asas seperti ayam dijual pada harga menghampiri RM10 sekilo. 

Selain itu, daging ikan dan telur ayam turut dilaporkan mengalami kenaikan. 

Ia dikatakan berpunca daripada kekurangan penghasilan makanan dalam negara yang mendedahkan Malaysia terhadap gangguan rantaian bekalan apabila perang Ukraine dan Rusia tercetus, selain masalah inflasi yang sedang melanda dunia.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, antara sebab yang paling jelas ialah komposisi majoriti pengundi senyap yang besar. 

Katanya, kelompok majoriti senyap sekarang hilang kepercayaan kepada orang politik atau mana-mana gerakan berbaur politik. 

"Namun, mereka sangat aktif melakukan 'tunjuk perasaan' dengan cara mereka meluahkan kemarahan di platform media sosial.

"Boleh lihat apabila pemimpin politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang membuat kenyataan di laman sosial media mereka, kelompok majoriti senyap ini amat riuh dan bising sekali meluahkan perasaan mereka," katanya. 

Tambahnya, sudah semakin sukar untuk menarik penyertaan orang ramai seperti himpunan Bersih apabila suasana dan masa sudah berubah. 

"Gerakan Turun ini tidak mempunyai hebahan yang meluas. Cakupan hebahan mereka masih terhad. Malah aktor bukan negara (non state actor) seperti gerakan sivil tidak dilibatkan secara menyeluruh.

"Parti politik pembangkang juga tidak kelihatan bersama," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata tindakan kerajaan menangani harga barang dilihat oleh rakyat terbanyak. 

Rata-rata tidak melihat kerajaan hanya duduk diam mengenai kos sara hidup.

"Macam harga ayam, sekarang sudah tiada bunyi. Malah ada lebihan stok ayam pula. 

“Jadi orang nampak semua ini," katanya. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.