- Iklan -
Berita

Setahun selepas hartal, doktor kontrak masih mencari sinar dalam kerjaya

Walaupun penambahbaikan telah dibuat, namun ia masih tidak memenuhi tuntutan mereka.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang doktor kontrak memegang plakad dalam hartal aman di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu.
Seorang doktor kontrak memegang plakad dalam hartal aman di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu.

Nurul Humairah mengenang kembali perasaan yang menjengah pada hari dia dan rakan-rakannya berhartal di depan klinik kesihatan di Selangor, setahun yang lalu. 

Menurut Nurul, dia tidak pernah menyangka dalam perjalanan kerjayanya, dia perlu keluar meninggalkan pesakit dan protes kepada pihak atasan demi menuntut jaminan masa depannya sendiri sebagai seorang doktor, satu pekerjaan yang selama ini mendapat sanjungan tinggi dalam kalangan masyarakat. 

Nurul berkata pada pagi 26 Julai tahun lalu, ibu bapanya masih tidak berputus asa memujuk supaya tidak terlibat dengan hartal dan merayu dia terus berada di dalam kawasan hospital. 

Bagaimanapun, katanya, dia nekad untuk berhartal. 

"Pagi itu memang wad sunyi, aura menjadi sangat hiba. Kerana semua dah tahu akan ada hartal,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Doktor-doktor senior pula bila bertentang mata dengan kami terus arahkan kami segera keluar berhartal. 

"Di luar klinik, orang ramai melihat kami berdiri memegang kertas ditulis macam-macam. Seorang rakan saya menangis kerana terlihat kelibat ayahnya berada di depan kami.

"Akhirnya, saya juga menangis di sebalik pelitup muka yang dipakai." 

Genap setahun lalu, sektor perubatan negara menjadi tumpuan ramai selepas doktor-doktor kontrak bergerak keluar secara beramai-ramai di hospital dan klinik kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk protes. 

Gerakan yang dikenali sebagai “Hartal Doktor Kontrak” itu dibuat bagi menuntut jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak, hak kenaikan gaji, serta kebajikan sama rata dengan jawatan doktor tetap. 

Selepas setahun, mereka masih mencari sinar dalam kerjaya.

Jurucakap gerakan itu, Dr Muhammad Yassin berkata sejak hartal berlangsung sebanyak 4000 jawatan tetap diberikan kerajaan dengan 1500 jawatan setiap tahun sehingga tahun 2025. 

Malah, doktor dan doktor gigi kontrak juga sudah boleh melanjutkan pelajaran untuk program kepakaran. 

"Ini satu perkembangan positif memandangkan sebelum ini doktor kontrak tidak boleh menjadi doktor pakar," katanya kepada MalaysiaNow. 

Pada 21 Oktober 2016 kerajaan di bawah pimpinan Najib Razak bersetuju pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi dilantik secara kontrak. 

Pelantikan tersebut memberi peluang kepada graduan jawatan-jawatan tersebut untuk menjalani latihan atau khidmat wajib sama ada di dalam atau luar fasiliti KKM. 

Ia bersandar kepada skim perkhidmatan dan peruntukan kewangan tanpa terikat dengan penjawatan tetap.

Sehingga 31 Mei 2021, sebulan sebelum hartal dijalankan dilaporkan kira-kira 35,216 lantikan secara kontrak di bawah KKM. 

Ini melibatkan 23,007 pegawai perubatan gred UD41, 7,139 pegawai farmasi gred UF41 dan 5,000 pegawai pergigian gred UG41. 

Sehari sebelum hartal, kerajaan setuju melanjutkan kontrak 14,000 doktor perubatan, pergigian dan pegawai farmasi bagi tempoh dua tahun memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion.

Pemberhentian kerja masih berterusan 

Dalam pada itu, Muhammad berkata masih ramai pegawai-pegawai perubatan bertindak berhenti kerja kerana jumlah pengambilan doktor tetap masih rendah berbanding keseluruhan jumlah doktor kontrak iaitu bawah 20,000 orang. 

"Jadi masih ramai tidak akan dapat jadi doktor tetap dan menyebabkan mereka kecewa serta putus harapan dengan KKM.

"Kami mohon jawatan doktor tetap untuk semua tetapi hanya 4000 slot diberikan. Jauh dari tuntutan kami," katanya sambil menambah tuntutan supaya kriteria lantikan doktor tetap menjadi lebih telus juga masih belum dipenuhi. 

Bercerita lebih lanjut, Muhammad berkata terdapat isu lain yang berbangkit selepas hartal doktor kontrak berlangsung. 

Ini termasuk isu buli di tempat kerja dan budaya kerja toksik di bawah fasiliti kesihatan KKM yang turut menjadi tumpuan orang awam di media sosial. 

Salah satunya, katanya, melibatkan kematian tragis seorang pegawai pelatih di Pulau Pinang pada April lalu yang disyaki meninggal dunia akibat sebab yang mencurigakan. 

Menurut Muhammad, desakan oleh Hartal Doktor Kontrak membuahkan hasil apabila satu “task force”ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi. 

Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih ditemui mati selepas terjatuh di kediamannya. 

Difahamkan, ia kematian kedua melibatkan doktor muda dalam tempoh dua tahun.

Pada Disember 2020, seorang doktor yang meletak jawatan dari hospital yang sama dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba.