- Iklan -
Berita

23 banduan fail saman dakwa kerajaan Singapura tidak adil terhadap mereka

Ini adalah kali pertama lebih 20 banduan bersatu dalam memfailkan saman terhadap kerajaan ketika pelaksanaan hukuman mati semakin meningkat di republik itu.

Our Regional Correspondent
3 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan memegang plakad ketika demonstrasi membantah hukuman mati di Speakers' Corner di Singapura pada 3 April lalu. Gambar: Bernama
Penunjuk perasaan memegang plakad ketika demonstrasi membantah hukuman mati di Speakers' Corner di Singapura pada 3 April lalu. Gambar: Bernama

23 banduan bilik akhir di Singapura memfailkan saman terhadap kerajaan, menuduh pihak berkuasa menghalang hak mereka untuk mendapatkan keadilan, berikutan beberapa banduan terpaksa membela diri tanpa peguam pada saat akhir sebelum menjalani hukuman gantung.

Saman itu berjaya difailkan petang tadi selepas berdepan proses sukar sejak seminggu lalu, tanpa akses kepada peguam bagi membantu mereka dalam menyediakan kertas kerja terperinci.

Saman itu juga difailkan menjelang pelaksanaan empat hukuman mati yang disabitkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang dadah Singapura yang penuh kontroversi.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan dua hukuman mati secara serentak dijadualkan pada 2 dan 5 Ogos depan, menjelang sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang pertama selepas pandemik.

Saman hari ini turut dilihat sebagai saman pertama yang menyaksikan begitu ramai banduan bersama-sama dalam usaha menyaman kerajaan, di mana pada mulanya ia hanya melibatkan 17 banduan namun gagal ketika memfailkannya pada 25 Julai.

Salah seorang daripada mereka plaintif adalah Abdul Rahim Shapiee, lelaki Melayu Singapura berusia 45 tahun yang turut terlibat dalam satu saman berasingan bersama 16 banduan lain, di mana mereka menuduh pihak berkuasa mengamalkan diskriminasi kaum dalam pendakwaan ke atas mereka. 

Rahim sudah dimaklumkan mengenai jadual hukuman matinya yang akan dilaksanakan pada 5 Ogos.

Kakak Rahim, Norhafizah Shapiee dalam surat kepada ketua hakim negara Singapura berkata pihak berkuasa penjara enggan memberikan bantuan kepada banduan dalam memfailkan saman tersebut.

"Banduan perlu cari sendiri maklumat berkaitan borang-borang itu dan menyediakan borang permohonan dan borang e-litigasi kepada pihak penjara," tulis Norhafizah.

"Penjara juga tidak menjawab pertanyaan banduan mengenai bayaran dalam pemfailannya.”

Aktivis anti hukuman mati Kokila Annamalai menyelar halangan yang terpaksa dihadapi banduan dalam usaha mereka mendapatkan akses bagi proses undang-undang.

Kokila berkata hanya peguam mempunyai akses kepada e-litigasi dan borang permohonan.

"Banduan dan keluarga mereka tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan akses ke mahkamah. 

“Ini adalah tanggungjawab pihak penjara dan kerajaan untuk membenarkan dan memudahkan banduan untuk akses ke mahkamah," kata Kokila dalam satu hantaran dalam talian hari ini.

Singapura menjadi perhatian  antarabangsa berhubung beberapa pelaksanaan hukuman mati pesalah berkait jenayah dadah, di mana peguam yang mewakili mereka dikenakan hukuman berat selepas didakwa "menyalahgunakan proses mahkamah”.

Kekerapan hukuman mati yang dijalankan - sebanyak sepuluh pelaksanaan dalam tempoh lebih tiga bulan termasuk minggu ini - turut menyebabkan Amnesty International menggesa masyarakat antarabangsa supaya tekanan terus ditingkatkan terhadap Singapura.

“Daripada menjadi pencegah unik terhadap jenayah, pelaksanaan hukuman mati itu hanya menunjukkan betapa pihak berkuasa Singapura tidak menghiraukan hak asasi manusia dan hak untuk hidup," kata kumpulan hak asasi antarabangsa itu pada 22 Julai, hari di mana Nazeri Lajim, yang merupakan warga Singapura berusia 64 tahun menjalani hukum gantungnya.

Nazeri terjebak dengan ketagihan dadah sejak berusia 14 tahun.

Sehari sebelum pelaksanaan hukumannya, Nazeri mewakili diri sendiri dalam rayuan akhir kepada hakim untuk memberinya lebih masa berjumpa ahli keluarga sebelum menjalani hukuman.

Dia tidak berjaya mendapatkan peguam bagi mewakilinya dalam rayuan itu ekoran suasana takut dalam kalangan pengamal undang-undang Singapura untuk mewakili banduan bilik akhir. 

Peguam dan aktivis turut menegaskan mereka yang dihukum mati di bawah undang-undang itu kebanyakannya adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, sementara sebahagian besar dalang utama sindiket dadah terus terlepas bebas.

Bagaimanapun, mahkamah Singapura tetap menolak hujah sedemikian.

Kerajaan Singapura diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) menolak gesaan supaya mengkaji semula hukuman terhadap pesalah dadah, selain terus mempertahankan undang-undangnya berkesan mengawal jenayah itu ketika Malaysia mengumumkan ia akan memansuhkan hukuman mati mandatori.

* Nota pengarang: MalaysiaNow dimaklumkan mengenai penambahan seorang lagi plaintif dalam saman banduan bilik akhir tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan plaintif sebanyak 24 orang berbanding 23 dalam laporan sebelum ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.