- Iklan -
Berita

Jangan politikkan usaha tamatkan generasi perokok, kata pakar

Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman menegaskan wakil rakyat mempunyai tanggungjawab moral untuk menyokong RUU generasi penamat rokok.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Dianggarkan sekitar 21% populasi merokok di mana menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin boleh dikurangkan sehingga 4% jika RUU akta kawalan tembakau dan merokok diluluskan.
Dianggarkan sekitar 21% populasi merokok di mana menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin boleh dikurangkan sehingga 4% jika RUU akta kawalan tembakau dan merokok diluluskan.

Malaysia berpeluang mencipta sejarah sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Kawalan Merokok 2022 atau generasi penamat rokok (GEG) diluluskan, namun masih ada halangan termasuk bantahan daripada industri tembakau dan sikap teragak-agak daripada ahli Parlimen.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin yang membawa usul tersebut di Parlimen pada 27 Julai lalu, berkata ia mampu menyelamatkan dua juta nyawa rakyat Malaysia.

Perbahasan RUU yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat itu menyaksikan beberapa ahli Parlimen memberi bayangan untuk tidak menyokong RUU itu ketika perbahasan. 

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai contoh, mahu agar kerajaan tidak “bulldoze” RUU tersebut.

Sementara itu, beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ketika dihubungi MalaysiaNow hanya berdiam diri dan enggan memberikan kenyataan. 

Ini termasuk bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dari Amanah. 

Manakala Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii yang mengetuai Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) Kesihatan, Sains dan Inovasi berkata pada dasarnya jawatankuasa bersetuju dengan prinsip RUU berkenaan. 

Terutamanya, kata Yii, apabila melibatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang serta pengawalseliaan produk-produk tembakau. 

"Bagaimanapun, kami mengakui kebimbangan berbeza yang dibangkitkan oleh semua pihak berkepentingan dan melihat kepentingan untuk menangani kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan. 

"Ini untuk memastikan akta ini dapat mencapai sasaran yang ditetapkan tanpa menanggung risiko yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow. 

Atas sebab itu Yii menegaskan jawatankuasa mengesyorkan supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar GEG selama tiga tahun bagi mengukuhkan persiapan kerajaan. 

Ini bermakna GEG akan melibatkan individu yang dilahirkan selepas 2007.

"Termasuklah penyediaan rangka kerja penguatkuasaan antara badan-badan kerajaan dengan betul. 

"Kedua, jawatankuasa mencadangkan agar RUU itu memasukkan klausa ‘Penilaian Mandatori’. Laporan Penilaian Mandatori yang dibuat dalam PSC kemudiannya perlu dibawa ke Parlimen dalam bentuk usul perbahasan dan diundi." 

Bercakap kepada MalaysiaNow, bekas timbalan pengarah kesihatan (kesihatan awam), Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, berdasarkan pemerhatiannya, RUU itu kelihatan sedang dipolitikkan, walhal ia bukan undang-undang yang berkait dengan kewangan. 

"Mengapa ia terjadi mungkin masing-masing banyak kepentingan sebab banyak alasan yang diberi seiring dengan apa yang diutarakan oleh pihak industri rokok dan vape.

"Sebab itu saya minta ahli Parlimen membuat pengistiharan ‘conflict of interest’ jika individu atau parti menerima sumbangan dari industri rokok atau vape," katanya.

Wakil industri rokok turut dilaporkan berada di Parlimen untuk melobi ahli Dewan Rakyat dalam menentang RUU itu. 

Malaysia dan New Zealand menjadi dua negara yang membawa usul generasi penamat itu ke Parlimen dalam beberapa minggu lalu. 

Sebagai rekod, Malaysia mempunyai kira-kira 21% populasi perokok. 

Khairy sebelum ini memaklumkan angka itu mampu turun kepada 4% jika RUU itu diimplementasikan.

Antara bantahan yang dikemukakan terhadap RUU itu ialah ia mampu meningkatkan penjualan rokok dalam pasaran gelap. 

Penganalisis data K Pankaj berkata, 57.7% rokok yang berada dalam negara merupakan rokok seludup, di mana ia menjadi hujah pengkritik RUU tersebut

"Harga rokok seludup ini murah yang menyebabkan permintaan tinggi. Aktiviti penyeludupan senang dilakukan. 

“Dari segi kutipan cukai, kerajaan mengutip RM3 bilion daripada baki 43% rokok yang sah. Dianggarkan RM8 bilion boleh dikutip jika tiada penyeludupan rokok," katanya kepada MalaysiaNow.

Pankaj berkata, RUU itu juga bersifat punitif dan sukar untuk dilaksanakan. 

Katanya jika kerajaan tidak mampu mengawal pemerdagangan haram, maka kerajaan juga sukar mengawal aktiviti penjualan rokok. 

Namun bagi Lokman, masalah penguatkuasaan turut membabitkan semua undang-undang dan tidak terhad kepada rokok sahaja. 

"Apa barang yang tidak diseludup di negara ini? Petrol, diesel, minyak masak, hatta manusia pun diseludup di negara ini. 

"Jadi isu siapa sebenarnya masalah penguatkuasa ini? Saya mengatakan bahawa ia masalah kerajaan di semua peringkat sama ada persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Lokman menegaskan wakil rakyat mempunyai tanggungjawab moral untuk menyokong RUU tersebut. 

"Ahli Parlimen adalah pembuat dasar. Dasar asas RUU ini adalah rokok/vape membahayakan kesihatan. Jika tidak masakan tembakau ataulah satu-satunya komoditi yang dikawal oleh instrumen antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia.

"Maka ahli Parlimen perlu bersetuju dengan dasar ini dan menyokong RUU ini," tambahnya.