- Iklan -
Berita

Mahkamah Singapura beri notis singkat hari sama pendengaran saman banduan bilik akhir

Garis masa yang singkat itu diberikan selepas mahkamah menuduh 24 banduan bilik itu 'menyalahgunakan proses mahkamah' dalam memfailkan saman mereka.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan duduk di sebelah plakad yang menunjukkan bantahan terhadap hukuman mati ketika demonstrasi di Speakers' Corner, Singapura pada 3 April lalu. Gambar: AFP
Penunjuk perasaan duduk di sebelah plakad yang menunjukkan bantahan terhadap hukuman mati ketika demonstrasi di Speakers' Corner, Singapura pada 3 April lalu. Gambar: AFP

24 banduan bilik akhir yang memfailkan saman terhadap pihak berkuasa Singapura dituduh "menyalahgunakan proses mahkamah" dalam pendengaran sebelum perbicaraan, mengulangi tuduhan serupa yang dilemparkan oleh mahkamah terhadap peguam yang terlibat mencabar hukuman mati di republik itu.

Difahamkan, mahkamah meminta banduan menghantar hujahan lanjut bagi menyokong saman mereka selewat-lewatnya pukul 6.00 petang hari ini, menyebabkan mereka hanya mempunyai beberapa jam untuk meneliti istilah dan prosedur undang-undang yang kompleks dalam membina hujahan saman tersebut.

Tindakan itu disifatkan oleh seorang aktivis hak asasi sebagai satu situasi yang “belum pernah berlaku dan keterlaluan".

“Kesemua 24 mereka mewakili diri mereka sendiri, tanpa peguam untuk membantu," kata aktivis kumpulan hak asasi Transformative Justice Collective Kokila Annamalai kepada MalaysiaNow.

"Banduan diberikan masa yang sangat singkat untuk memfailkan penghujahan dan menghujahkan kes mereka di mahkamah. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia benar-benar keterlaluan."

MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan sama ada garis masa tersebut sudah dipenuhi pihak banduan-banduan itu atau tidak.

Semalam, 24 banduan bilik akhir di Singapura memfailkan saman terhadap kerajaan, menuduh pihak berkuasa menghalang hak mereka untuk mendapatkan keadilan, berikutan beberapa banduan terpaksa membela diri tanpa peguam pada saat akhir sebelum menjalani hukuman gantung.

Awal hari ini, Singapura baru sahaja melaksanakan dua lagi hukuman mati dan dijangka akan menjalankan hukuman sama ke atas dua lagi banduan pada Jumaat.

Ia akan menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang menjalani hukuman gantung sampai mati akibat kesalahan di bawah undang-undang dadah Singapura sebanyak 10 orang dalam tempoh kurang empat bulan.

Kokila juga mempersoalkan mengapa mahkamah tidak menggunakan prosedur biasa dengan membenarkan peguam negara mencabar saman tersebut dalam tempoh dua minggu bermula dari tarikh ia difailkan.

Saman yang difailkan banduan bilik akhir itu bukanlah cabaran undang-undang pertama dilakukan terhadap pihak berkuasa Singapura.

Tahun lalu, 17 banduan Melayu menuduh pihak berkuasa mengamalkan diskriminasi kaum dalam menjalankan pendakwaan mereka. 

Bagaimanapun, saman tersebut dibatalkan oleh mahkamah, dan dua peguam - M Ravi dan Charles Yeoh - dikenakan hukuman berat di bawah tuduhan menyalahgunakan proses mahkamah.

Yeoh kini mendapatkan suaka perlindungan di UK.

Hukuman terhadap kedua-dua peguam itu dan peguam lain yang lantang berhubung hukuman mati telah menyebabkan timbul suasana takut dalam kalangan pengamal undang-undang Singapura, di mana akhirnya banduan bilik akhir terpaksa membela diri sendiri pada saat akhir sebelum menjalani hukuman.

Antara mereka itu adalah Nazeri Lajim, seorang warga Singapura berusia 64 tahun.

Nazeri yang merupakan penagih dadah sejak usianya 14 tahun terpaksa hadir sendirian ketika membuat rayuan di hadapan hakim untuk memohon lebih banyak masa berjumpa ahli keluarga sebelum hukumannya dijalankan.

Singapura sering membidas pengkritik yang mempersoalkan hukuman mati yang dijalankannya ke atas pesalah dadah, walaupun statistik menunjukkan kebanyakan mereka yang dijatuhi hukuman tersebut hanyalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin.

Dalam pada itu, pengkritik mengatakan dalang sindiket  dadah yang sebenar masih terlepas bebas daripada ditangkap.

Sementara kerajaan Singapura diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebaliknya, terus mempertahankan undang-undangnya berkesan mengawal jenayah dadah ketika Malaysia mengumumkan ia akan memansuhkan hukuman mati mandatori.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.