- Iklan -
Berita

Penjara Singapura gantung sampai mati 2 lagi banduan

Pelaksanaan hukuman mati hari ini adalah yang pertama ke atas dua banduan secara serentak menjelang sambutan Hari Kebangsaan Singapura pada 9 Ogos.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang aktivis memakai baju membantah hukuman mati dalam sebuah protes di Speakers' Corner, Singapura pada April lalu. Gambar: AFP
Seorang aktivis memakai baju membantah hukuman mati dalam sebuah protes di Speakers' Corner, Singapura pada April lalu. Gambar: AFP

Dua lagi banduan bilik akhir di Penjara Changi dihukum gantung sampai mati hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan banduan yang menjalani hukuman mati di Singapura sebanyak lapan orang sejak Februari lalu.

Bagaimanapun butiran mengenai kedua-dua banduan itu tidak dapat diperincikan kerana ahli keluarga mahukan privasi mengenainya.

Pelaksanaan hukuman pada hari ini adalah yang pertama dari dua pelaksanaan yang dijadualkan dilakukan secara serentak menjelang sambutan Hari Kebangsaan Singapura pada 9 Ogos.

Dua lagi banduan akan menjalani hukuman mereka pada 5 Ogos.

Seorang dari empat banduan tersebut adalah warga Malaysia yang menjadi salah seorang dari 17 banduan bilik akhir yang memfailkan saman terhadap kerajaan Singapura, menuduhnya mengamalkan diskriminasi kaum dalam menjalankan pendakwaan terhadap mereka.

Seorang lagi rakan plaintif yang turut dijadualkan menjalani hukuman sama adalah Abdul Rahim Shapiee, lelaki Melayu Singapura berusia 45 tahun.

Keempat-empat mereka disabitkan kesalahan atas pertuduhan di bawah undang-undang keras berkait dadah di Singapura, di mana negara itu menjadi perhatian dunia dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Peguam dan aktivis turut menegaskan mereka yang dihukum mati di bawah undang-undang itu kebanyakannya adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, sementara sebahagian besar dalang utama sindiket dadah terus terlepas bebas.

Bagaimanapun, mahkamah Singapura tetap menolak hujah sedemikian.

Setakat ini, Singapura melaksanakan hukuman mati terhadap dua dari 17 plaintif saman yang dibatalkan tahun lalu, di mana peguam yang mewakili mereka dikenakan hukuman berat selepas didakwa "menyalahgunakan proses mahkamah”.