- Iklan -
Berita

KTMB beri maklum balas rungutan penumpang berhubung KTM Komuter

Maklum balas itu menjelaskan beberapa isu termasuk waktu lama menunggu tren, selain memberi jaminan akan berusaha meningkatkan prestasi perkhidmatannya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penumpang menuruni tangga jejantas di Stesen KTM Komuter Seputih di Kuala Lumpur.
Seorang penumpang menuruni tangga jejantas di Stesen KTM Komuter Seputih di Kuala Lumpur.

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) hari ini menjelaskan isu mengenai kekerapan rendah tren yang sering menjadi rungutan penumpang bagi perkhidmatan KTM Komuter di sekitar Lembah Klang.

Dalam satu kenyataan, ia berkata perkhidmatan KTM Komuter beroperasi menggunakan "mod menurun” berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf yang sedang dijalankan.

Syarikat itu berkata ketika kerja-kerja sedemikian dijalankan, bahagian talian perkhidmatan atau akses ke platform stesen perlu ditutup di mana ia menjejaskan jarak waktu perkhidmatan sesebuah tren komuter.

“Operasi landasan kereta api tunggal telah menyebabkan tiada lagi fleksibiliti untuk menggerakkan tren dengan laluan yang lebih pendek, menyebabkan penumpang terpaksa menunggu tren dengan jangka masa yang lebih lama," tambahnya.

KTMB memberikan maklum balas itu selepas MalaysiaNow menerbitkan laporan mengenai KTM Komuter dan peranannya sebagai sebahagian daripada rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang.

Dalam laporan tersebut, MalaysiaNow membuat tinjauan terhadap beberapa aduan yang dikemukakan penumpang selain turut menjelaskan mengenai beberapa kelebihan menaiki KTM Komuter berbanding sistem rel lain seperti MRT dan LRT.

Rungutan utama yang biasa dibangkitkan adalah tempoh menunggu yang lama antara tren selain kemudahan yang kelihatan kurang diselenggarakan di stesen KTM Komuter.

Walaupun mempunyai kekurangan, namun KTM Komuter masih menjadi pilihan penumpang kerana destinasi yang ditawarkan dan tambangnya yang jauh lebih murah daripada perkhidmatan sistem rel lain.

KTMB berkata tren komuter juga perlu  menunggu isyarat dari pusat kawalan sebelum meneruskan perjalanan, menyebabkan kelewatan dalam pergerakan bagi sesebuah tren dan tren yang berada di belakangnya.

"Pada masa ini, kekerapan perkhidmatan KTM Komuter dihadkan kepada setiap 30 minit pada waktu puncak dan setiap 60 minit pada waktu luar puncak," katanya.

"Apabila projek KVDT 1 dan KVDT 2 siap, kekerapan tren akan dinaik taraf kepada 7.5 minit bagi setiap jarak masa ketibaan.”

Berhubung kemudahan di kawasan sekitar stesen KTM Komuter, KTMB mengakui bahawa fasiliti yang tersedia adalah “gabungan kemudahan lama dan yang baru".

Katanya, kemudahan baru stesen biasanya teratur dengan baik dan mempunyai kelengkapan yang dikemas kini dan mesra pengguna, sebaliknya, bagi stesen lama kelengkapannya tidak sedemikian rupa.

Bagaimanapun, KTMB memberi jaminan bahawa ia akan bekerja “keras” dengan pemilik asetnya, Railway Assets Corporation bagi membina kemudahan yang lebih baik, terutama bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU).

"KTMB akan terus menambah baik semua perkhidmatannya dalam menyokong dan mencapai objektif mobiliti sosioekonomi Malaysia," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.