- Iklan -
Berita

Saman banduan tiada akses guaman ditolak, hukuman mati di Singapura dijangka meningkat

Menurut hakim, perintah kos adalah wajar dan peguam ada alasan tersendiri ketika enggan mengambil kes banduan.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan memegang plakad membantah hukuman mati di Speakers' Corner, Singapura pada April lalu. Gambar: AFP
Penunjuk perasaan memegang plakad membantah hukuman mati di Speakers' Corner, Singapura pada April lalu. Gambar: AFP

Mahkamah Singapura menolak permohonan saman yang difailkan oleh 24 banduan di mana mereka mendakwa dihalang daripada mendapatkan akses guaman ekoran suasana takut pengamal undang-undang negara itu terhadap hukuman berat yang dikenakan sekiranya mewakili banduan bilik akhir, sehari selepas kumpulan itu diperintahkan untuk mengemukakan hujahan terperinci saman tersebut walaupun tidak mendapat khidmat peguam.

Keputusan mahkamah pada malam tadi turut membuka jalan untuk pelaksanaan dua lagi hukuman mati, menjadikan jumlah hukuman mati di republik sebanyak 10 orang pada tahun ini, rekod tertinggi di Asia Tenggara.

Dalam saman tersebut, 24 banduan itu merujuk keputusan mahkamah baru-baru ini yang membenarkan perintah kos kepada peguam negara terhadap  peguam Charles Yeo dan M Ravi, selepas kedua-dua mereka didakwa "menyalahgunakan proses mahkamah” ketika mewakili banduan bilik akhir.

Saman itu turut memetik satu contoh di mana banduan, termasuk yang sudah menjalani hukuman sejak beberapa bulan lalu terpaksa mewakili diri mereka sendiri kerana peguam takut tindakan serupa oleh peguam negara akan turut mengenakan tindakan.

Bagaimanapun, hakim berkata perintah kos adalah wajar, sambil menambah peguam mungkin mempunyai "alasan yang boleh diterima dan sah” ketika enggan mengambil kes banduan.

Dalam pada itu, hakim turut menuduh banduan bergantung kepada "bukti khabar angin" yang diperolehi daripada "peguam tidak dapat dikenal pasti“ serta "keluarga, rakan dan aktivis yang membantu keluarga mereka".

Hakim turut memberi tempoh sehingga pagi ini berhubung permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman Abdul Rahim Shapiee, di mana ia dilihat menjadi corak keputusan hakim di Singapura yang hanya memberikan tempoh yang singkat kepada banduan bagi mengemukakan dokumen perundangan bagi menyokong permohonan mereka.

Dua hari lalu, kumpulan itu diberikan notis singkat bagi mengemukakan hujahan pada hari sama permohonan saman dikemukakan, menyebabkan mereka hanya mempunyai beberapa jam untuk meneliti istilah dan prosedur rumit perundangan.

Singapura menjadi perhatian komuniti antarabangsa selepas menjalankan hukuman gantung sampai mati terhadap lapan banduan bilik akhir termasuk seorang warga Malaysia dan seorang lelaki Singapura pada 2 Ogos dalam tempoh hanya empat bulan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga turut senada dengan kumpulan hak asasi manusia dan aktivis yang menyuarakan bantahan terhadap hukuman tersebut, di mana jurucakapnya, Liz Throssel berkata pihaknya “kesal" dengan hukuman gantung yang dijalankan dan “sangat terganggu” dengan dua lagi pelaksanaan hukuman yang dijadualkan esok.

“Kami juga menyeru kerajaan Singapura untuk menamatkan penggunaan hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah, meringankan semua hukuman mati kepada hukuman penjara dan segera meletakkan moratorium ke atas pelaksanaan hukuman, dengan tujuan untuk memansuhkan hukuman mati“ katanya.

Kerajaan Singapura sering membidas mereka yang mempersoalkan dasar hukuman matinya, walaupun statistik menunjukkan kebanyakan yang dihukum bunuh adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin.

Namun sebaliknya, kerajaan diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu tetap menegaskan hukuman mati yang dilaksanakannya berjaya menjadi pencegah jenayah dadah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.