Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan menunggu sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan status empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH), walaupun pendahulunya Lim Guan Eng menggesa supaya dua bekas Adun PKR disingkir segera dari DUN.
Chow berkata negeri itu akan mendapatkan tarikh awal dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam memutuskan saman yang difailkan oleh empat Adun Bersatu yang mencabar usul di DUN negeri itu pada 2020 yang mengarahkan mereka mengosongkan kerusi yang diwakili kerana tidak lagi menjadi Adun PH.
Saman itu bergantung kepada keputusan berasingan Mahkamah Persekutuan mengenai Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang yang menyatakan wakil rakyat perlu mengosongkan kerusi mereka jika menukar parti.
Pada Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perkara 14A adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Chow berkata susulan keputusan mahkamah tertinggi itu, exco kerajaan negeri memutuskan akan menunggu Mahkamah Tinggi dalam membuat keputusan berhubung kes tersebut.
"Sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi akan menjadi sebahagian daripada proses dalam mengisytiharkan kekosongan kerusi-kerusi DUN yang berkaitan, mengikut mana-mana peruntukan yang berkaitan,” katanya.
Terdahulu, Lim, yang kini merupakan pengerusi DAP dan pernah menjadi ketua menteri sebelum pilihan raya umum (PRU) 2018, telah menggesa sidang khas DUN bagi memutuskan nasib Zulkifli Ibrahim dan Dr Afif Bahardin yang dipecat dari PKR ketika parti itu bergelut dengan krisis selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020.
Zulkifli dan Afif kemudiannya menyertai Khaliq Mehtab dan Zolkifly Md Lazim sebagai Adun Bersatu di DUN Pulau Pinang.
Semalam, mereka memberi amaran sebarang tindakan untuk menyingkirkan mereka dari DUN adalah bercanggah dengan undang-undang anti lompat yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Bagaimanapun, tidak seperti Perlembagaan Pulau Pinang, undang-undang anti lompat di peringkat persekutuan itu baru sahaja diluluskan dan tidak akan memberi kesan kepada mereka yang dipecat daripada parti.
Dalam pada itu, Lim berkata undang-undang anti lompat persekutuan masih belum diwartakan, dan menegaskan peruntukan undang-undang negeri itu harus dikuatkuasakan terhadap kedua-dua mereka.