- Iklan -
Berita

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Indira untuk mulakan prosiding terhadap KPN

Indira Ghandi berkata dia akan memfailkan rayuan bagi memohon kebenaran memulakan prosiding di Mahkamah Rayuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
M Indira Gandhi bercakap ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini. Gambar: Bernama
M Indira Gandhi bercakap ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan kebenaran oleh M Indira Gandhi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ketua polis negara (KPN) dan pegawai bawahannya atas dakwaan kegagalan mendapatkan semula anak perempuannya, Prasana Diksa.

Pesuruhjaya kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan kebenaran memulakan prosiding berkaitan dakwaan kegagalan menangkap bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah serta memulangkan anak perempuan yang diambil lelaki mualaf itu, 13 tahun lepas.

"Permohonan ditolak selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan tiada perintah untuk kos," katanya.

Indira yang hadir bersama peguam L Pavitra ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya akan memfailkan rayuan bagi memohon kebenaran memulakan prosiding itu di Mahkamah Rayuan.

Indira memfailkan saman pada 28 Oktober 2020 dan menamakan KPN, polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kerajaan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Pernyataan tuntutan Indira, 47, mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana, yang kini berusia 14 tahun.

Beliau mendakwa kesemua defendan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu seperti diarah oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan bekas suaminya berjaya melarikan diri.

Justeru, beliau menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan "tort of nonfeasance" atau dengan sengaja tidak mengambil tindakan di pejabat awam manakala PDRM, KDN dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius bagi ‘tort of nonfeasance’ yang dilakukan KPN.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.