- Iklan -
Berita

Umno mungkin pinda perlembagaan sekali lagi selaras pindaan akta anti lompat parti

Umno akan merujuk kepada penasihat undang-undang sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan pindaan itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2020.
Bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2020.

Umno tidak menolak kemungkinan akan meminda perlembagaan parti sekali lagi bagi memastikan ia selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan lompat parti yang diluluskan minggu lepas.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bagaimanapun parti itu akan merujuk kepada penasihat undang-undang Umno terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan pindaan itu.

“Kita akan berbincang dengan penasihat undang-undang Umno apakah perlembagaan parti, fasal dan perkara yang perlu dipinda selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.

“Dengan kata lain, pindaan Perlembagaan  Umno kemungkinan akan dibuat sekali lagi, tetapi akan dapatkan nasihat penasihat undang-undang Umno,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini.

Sebelum ini pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.

Selain itu, Ahmad berkata mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiada pemilihan jawatan di semua peringkat pada Perhimpunan Agung Umno kali ini termasuk pada persidangan cawangan dan mesyuarat perwakilan bahagian.

Katanya mesyuarat turut menetapkan tarikh Perhimpunan Agung Umno pada 23 hingga 26 November, persidangan cawangan pada 15 Ogos hingga 18 September, mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian pada 7, 8 dan 9 Oktober serta mesyuarat perwakilan bahagian pada 14, 15 dan 16 Oktober.

Sementara itu Ahmad berkata MT Umno merakamkan ucapan terima kasih atas kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan Umno yang berkuat kuasa mulai 29 Julai ini.

“Sedikit pindaan itu melibatkan ditiadakan pemilihan (dalam tempoh) 18 bulan dan ditambah satu pemilihan pada setiap penggal pilihan raya umum (PRU) berkuat kuasa 29 Julai.

“Kita dah buat pemilihan selepas PRU14 jadi pemilihan seterusnya adalah selepas PRU15. (Pemilihan) tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU15,” katanya dan menambah perkara itu merupakan sesuatu yang diharapkan parti bagi memastikan keadaan dalaman parti adalah tenteram.

Mesyuarat turut menetapkan negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh atau enakmen negeri masing-masing setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan lompat parti selesai digazetkan.