- Iklan -
Berita

Nasib pusat perlindungan haiwan selepas pandemik Covid-19

Banyak pusat perlindungan yang tidak lagi mampu untuk terus menjaga haiwan yang dibawa ke premis mereka.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Kucing tidak bertuan berjalan di lobi perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.
Kucing tidak bertuan berjalan di lobi perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.

Joan Ng dan suaminya tidak pernah menyangka mereka akan menjadi tuan kepada tiga ekor anjing peliharaan yang diambil daripada pusat perlindungan haiwan ketika wabak Covid-19 sedang menggila pada hujung tahun 2020.

Ketika itu, virus merebak dengan cepat dan masih belum terdapat vaksin memaksa ekonomi dan sosial juga ditutup sepenuhnya.

Pasangan suami isteri itu berasa tidak senang hati apabila melayari media sosial dan mendapati banyak pusat perlindungan haiwan sedang bergelut dengan isu kewangan dan sumbangan makanan.

Lebih menyedihkan apabila banyak haiwan peliharaan di pusat perlindungan memerlukan keluarga angkat baru untuk dijadikan tempat baru menumpang kasih dan sayang.

"Masa itu saya dan suami fikir, kami perlu bertindak dengan cepat sebelum haiwan-haiwan itu mati kebuluran atau dibuang," kata Ng kepada MalaysiaNow.

Pada masa sama, dia juga memikirkan adakah ia merupakan keputusan terbaik untuk menyokong pusat-pusat perlindungan berdekatan kawasan rumahnya yang berdepan kesukaran akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Pusat-pusat ini perlukan sukarelawan dan keluarga yang baru dengan segera. Saya dan suami pula bekerja dari rumah, kami terus memandu kereta ke Puchong dan ambil tiga ekor anjing dan seekor anak kucing," katanya sambil menambah ibunya yang menetap di Muar, Johor menjaga anak kucing tersebut.

Ng dan suaminya merupakan antara ratusan, mungkin juga ribuan rakyat Malaysia yang tampil menjadi sukarelawan dan "hero" yang tidak didendang kerana membantu pusat-pusat perlindungan haiwan di seluruh negara ketika pandemik yang teruk.

Sebelum itu, mereka hanyalah pencinta haiwan yang tidak pernah memiliki haiwan peliharaan sendiri.

Keadaan masih sukar

Sehingga kini, selepas empat bulan kerajaan mengumumkan negara memasuki fasa endemik Covid-19 pada April lalu, masih tiada rekod terkini berhubung jumlah pusat perlindungan yang menutup operasi disebabkan PKP.

Bagaimanapun, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ramai pihak yang mengendalikan pusat perlindungan dilihat membuat rayuan dalam talian memohon sumbangan awam demi kelangsungan dan kebajikan haiwan-haiwan yang dijaga.

IMG-20220802-WA0003

Malah, ada juga yang membuat hantaran di media sosial menyatakan mereka tidak lagi mampu menerima mana-mana haiwan kerana tidak mempunyai sumber dan tenaga kerja yang mencukupi.

Di Facebook, beberapa kumpulan komuniti aktif berkongsi hebahan dan makluman tentang pusat-pusat perlindungan yang sedang memerlukan bantuan dana dan kewangan.

Tidak kurang juga pengumuman tentang pengambilan keluarga baru untuk haiwan-haiwan di pusat perlindungan masing-masing dengan menggunakan kempen slogan #kitajagahaiwan.

Terbiar

Tinjauan MalaysiaNow ke sebuah pusat perlindungan kucing terbiar di Putrajaya mendapati keadaannya yang sangat daif dan tidak dijaga dengan baik.

Seorang penjaga kebun di sebelah pusat perlindungan tersebut memberitahu, kesemua kucing di situ sudah pun dilepaskan berlegar-legar di kawasan berkenaan.

Katanya, kira-kira 38 ekor kucing jalanan yang dihantar ke situ sudah pun dibebaskan sejak tahun lalu kerana pengurusan tidak lagi mampu menjaga kesemua kucing tersebut.

"Dulu memang siapa-siapa sahaja hantar, mereka terima. Sekarang penjaga pun seorang sahaja. Lelaki umur 50-an.

"Tak boleh jaga dah. Kucing-kucing dilepaskan di sini. Ada yang tidak pergi jauh kerana tak pandai cari makan.

"Banyaknya, sudah tidak kelihatan lagi sejak itu," kata tukang kebun itu kepada MalaysiaNow.

Katanya, berkemungkinan besar kucing-kucing yang dibebaskan bertumpu di kawasan kuaters kerajaan berdekatan ataupun diambil oleh mana-mana individu untuk dipelihara.

Menurutnya, beberapa minggu lalu terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab meletakkan beberapa ekor anak kucing di hadapan pusat perlindungan itu pada waktu malam.

Tanpa pilihan, pusat perlindungan itu meletakkan anak-anak kucing itu di bawah peliharaan mereka.

"Sekarang ada tiga ekor anak kucing tanpa ibu. Kasihan sebab tak dapat menyusu dengan ibu.

"Ada lagi satu sangkar ibu dan anak-anak. Makin membesar dah masih menunggu keluarga baru yang berminat untuk ambil mereka.

"Jika tiada siapa yang datang, kucing-kucing itu mungkin akan dilepaskan dalam sikit masa lagi,” katanya.

Dia memberitahu, kos pemeliharaan kucing-kucing di pusat perlindungan itu memakan belanja yang tinggi.

Ini termasuk kos makanan, ubat-ubatan dan lawatan ke klinik veterinar yang berjadual.

Sebelum pandemik, katanya, ramai pihak datang memberi sumbangan makanan dan susu selain sukarelawan yang membantu membersihkan sangkar di hujung minggu.

Akibat PKP, semua diarahkan berada di dalam rumah menyebabkan makin ramai melupakan kehadiran pusat perlindungan tersebut.

"Mungkin mereka pun tak tahu, pusat perlindungan ini masih ada lagi di sini menunggu khidmat dan bantuan mereka," katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.