- Iklan -
Berita

Ruang 'kelabu' dalam perubatan tradisional Cina untuk Covid-19

Walaupun pengamal perubatan TCM memohon pengiktirafan rasmi kerajaan, pihak berkuasa kesihatan berkata perubatan tradisional Cina masih tidak mempunyai bukti saintifik dalam mewajarkan keberkesanan herba bagi rawatan Covid-19.

Nur Shazreena Ali
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang peniaga kedai ubat herba Cina menerangkan kepada pelanggan mengenai ubat yang mereka ambil di Jalan Carpenter, Kuching.
Seorang peniaga kedai ubat herba Cina menerangkan kepada pelanggan mengenai ubat yang mereka ambil di Jalan Carpenter, Kuching.

Di pejabatnya yang terletak di Kuching, Sarawak, Dr Tan Kit Weng sibuk merawat seorang pesakit.

Sambil duduk, dia memeriksa nadi dan mencatatkan aduan pesakitnya.

"Anda perlu minum lebih banyak air panas. Ambil ubat ini pada waktu malam sebelum tidur. Satu tablet setiap hari," katanya menjelaskan.

Begitulah rutin harian bagi Tan, yang mengamalkan rawatan perubatan tradisional dan komplementari (TCM) selama hampir lima dekad. 

Dinding pejabatnya digantung dengan sijil yang diperolehinya sementara rak dalam ruangan itu dipenuhi dengan herba-herba Cina dalam balang kaca.

Menurut Tan, dia pernah dilatih dalam perubatan berasaskan sains Barat, namun kemudiannya tidak puas dengan apa yang dipelajari dengan bidang itu dan beralih kepada rawatan tradisional Cina.

“Saya pergi ke Miri dan belajar semua ini daripada doktor tradisional Cina,” katanya.

"Saya berkawan dengan mereka, dan mereka mengajar saya cara menyembuhkan orang menggunakan ubat herba dan teknik penyembuhan lain."

Kebanyakan campuran herba yang beliau hasilkan adalah untuk pesakit yang menghidap penyakit kronik.

Bagaimanapun, tumpuannya kini mula beralih dan berusaha untuk menyediakan ramuan herba yang dapat memulihkan virus Covid-19, yang melanda dunia sejak lebih dua tahun lalu.

Ketika wabak itu mula dikesan, dia dan pasukannya melakukan analisis herba yang ada untuk rawatan Covid-19.

"Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), kami menghasilkan ubat herba yang dipanggil PC19," katanya.

"Pada ketika itu, persatuan kami mengagihkan 500 dos setiap hari kepada petugas barisan hadapan di hospital di seluruh negeri."

Menurut Tan, herba yang dihasilkan pasukannya mendapat sambutan baik.

"Permintaan yang semakin meningkat daripada pesakit Covid-19 mewujudkan peluang kepada ahli kami yang mereka meminta kami membantu mereka untuk menubuhkan lebih banyak pusat TCM bagi memenuhi permintaan temu janji.

"Jadi kami merancang untuk membantu pakar perubatan kami mengendalikan pusat-pusat baru," katanya.

Perkembangan TCM 

Walaupun amalan perubatan tradisional masih belum dibuktikan secara saintifik, ia tetap menjadi pilihan popular bagi pesakit, terutama mereka yang menghidap penyakit yang tidak mempunyai penawar dalam perubatan Barat.

Sebagai contoh, Tan berkata ramai pesakit kanser datang kepadanya untuk mengurangkan kesan sampingan kemoterapi seperti loya.

Ada juga daripada mereka yang datang mengadu penyakit biasa seperti cirit-birit dan batuk.

Sejak pandemik Covid-19, pengamal menerima pesakit yang tak putus-putus mendapatkan rawatan bagi gejala-gejala berkaitan Covid.

Namun di sebalik permintaan yang meningkat dalam pasaran, keberkesanan dan keselamatan rawatan TCM masih terus dipersoalkan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum memasukkan amalan TCM sebagai sebahagian daripada pelan pengurusan Covid-19.

Walaupun Malaysia menandatangani memorandum persefahaman dengan China awal tahun ini dalam komitmennya berhubung pembangunan amalan perubatan tradisional, Noor Hisham berkata TCM masih tidak mempunyai ujian saintifik yang cukup untuk membuktikan keberkesanan ubat herba dalam merawat Covid-19.

"Kami juga difahamkan oleh pakar TCM di China bahawa formula herba TCM untuk merawat Covid-19 harus diselaraskan mengikut keperluan dan ciri-ciri seseorang pesakit, selain iklim dan keadaan geografi tempatan," katanya.

"Kajian di peringkat tempatan diperlukan untuk menyokong penggunaan ubat herba dalam pencegahan atau rawatan Covid-19, bagi memastikan ia selamat dan berkesan."

Namun begitu, beliau turut memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini berhubung rawatan TCM, menyifatkannya satu perkembangan positif dalam usaha mempromosikan amalan perubatan tradisional Cina dalam sistem penjagaan kesihatan di peringkat global.

“Merujuk kepada keberkesanan ubat herba dalam pengurusan Covid-19, KKM sedar negara seperti China menggunakan TCM dalam rawatan Covid-19 di mana ia menunjukkan hasil positif,” katanya.

"Selain itu, daripada Laporan Mesyuarat Pakar WHO baru-baru ini mengenai Penilaian TCM dalam rawatan Covid-19 (2022), salah satu penemuan utamanya mengatakan TCM boleh mengurangkan risiko dalam kes bergejala ringan hingga sederhana apabila ia diberikan, sebagai proses intervensi tambahan kepada rawatan konvensional."

'Ruang kelabu'

Persekutuan Perubatan dan Pakar Perubatan Cina Sarawak berkata pembangunan TCM di Malaysia sentiasa mempunyai "ruang kelabu".

Di sebalik kejayaan industri itu, katanya, pengamal masih belum disahkan secara rasmi dalam sistem penjagaan kesihatan kerajaan.

"Peranan TCM dalam membantu pesakit Covid-19 membuktikan bahawa TCM memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan moden. Kami memerlukan pengiktirafan daripada kerajaan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan herba," kata naib setiausaha Albert Lee Joo Hee.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat dan dakwaan palsu berkait produk yang tidak berdaftar dengan KKM, mengatakan ia boleh menyebabkan mudarat kepada kesihatan.

“KKM sedar pesakit mungkin memilih untuk menggunakan ubat herba untuk menguruskan tanda dan gejala jangkitan Covid-19," katanya.

“Menjadi hak pesakit jika dia ingin ambil herba tradisional dalam menguruskan tanda dan gejala jangkitan Covid-19."

Namun begitu, beliau berkata perubatan moden harus menjadi sumber utama rawatan Covid-19 sekiranya pesakit berasa tidak sihat.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan yang diiktiraf jika mereka lebih gemar mengambil herba.

Sebagai contoh, katanya, kapsul Lian Hua Qing Wen adalah salah satu daripada beberapa formulasi herba yang disyorkan untuk melegakan simptom Covid-19, namun ia mengandungi ephedra – satu bahan terlarang yang tidak dibenarkan dalam produk perubatan tradisional berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

“Di Malaysia, terdapat produk berdaftar Lian Hua Qin Wen dengan formulasi yang diubah suai (tanpa ephedra) bagi mengurangkan kepanasan badan serta melegakan batuk dan kahak berdasarkan falsafah tradisionalnya yang boleh melegakan beberapa gejala dan simptom yang dihadapi pesakit.

“Orang ramai perlu mengikut arahan yang dikeluarkan oleh KKM dan penggunaan ubat herba tidak menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan dari kemudahan KKM atau diberi vaksin Covid-19,” katanya.