- Iklan -
Berita

KPM tegaskan UPSR, PT3 tidak akan dilaksanakan semula

Menurut timbalan menteri pendidikan, ia dimansuhkan bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam akademik sahaja.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Murid sekolah kini tidak perlu menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dalam sistem pendidikan baru. Gambar: Bernama
Murid sekolah kini tidak perlu menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dalam sistem pendidikan baru. Gambar: Bernama

Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan keputusan untuk tidak mengembalikan peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.

Timbalan Menteri Pendidikan II  Mohamad Alamin berkata UPSR dan PT3 dimansuhkan kerana KPM mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam bidang akademik sahaja.

"Kami sudah beri penerangan berkali-kali bahawa kali ini kita ambil pendekatan yang lebih inklusif, bukan hanya eksklusif berdasarkan peperiksaan semata-mata kerana kita ingin melahirkan modal insan yang berkebolehan dalam banyak bidang lain. 

"Malaysia bergerak ke arah negara yang lebih maju, kami ingin membekalkan negara dengan modal insan dalam pelbagai kepakaran. Itu tujuan utamanya, jadi percayalah kita akan membantu negara melahirkan Malaysia yang lebih berkebolehan," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 31 KPM di Putrajaya hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang menyatakan semakin ramai ibu bapa menuntut agar UPSR dikembalikan kerana mendakwa KPM masih belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pentaksiran bilik darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Ia berikutan tiga prasyarat utama PBD masih belum dipenuhi sehingga kini yang menambahkan keresahan ibu bapa terhadap keberkesanan pendekatan baharu tersebut.

Tiga prasyarat itu ialah bilangan murid yang ideal antara 20 hingga 25 orang dalam kelas bagi memudahkan guru memantau dan menilai; sukatan pelajaran yang tidak terlalu padat bagi memberi laluan kepada pelbagai aktiviti di dalam kelas; dan guru perlu diberikan autonomi sepenuhnya untuk mentaksir murid.

Pada 28 April lepas, KPM memansuhkan sepenuhnya UPSR dan memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan PBD, manakala pada 2 Jun lepas kementerian itu turut mengumumkan PT3 dimansuhkan bermula tahun ini dan digantikan dengan pengukuhan PBS.

Sementara itu ketika berucap, Mohamad menyeru guru KPM supaya menggunakan media sosial dengan sewajarnya kerana secara tidak langsung mereka membawa imej kementerian kepada umum.

Beliau berkata KPM telah mengeluarkan Garis Panduan dan Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid pada Januari 2017, untuk menerangkan tatacara, peraturan serta kawalan kandungan media sosial yang perlu dipatuhi oleh guru dan murid supaya penyebaran dan perkongsian maklumat terkawal, selain tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam juga kedaulatan negara.

"Dokumen ini dengan jelas menyatakan perkara yang dilarang dilakukan oleh guru dan murid ketika menggunakan media sosial antaranya membuat sebarang penyataan menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dan dasar kerajaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) Idris Zaharudin dalam ucapannya pula berkata KPM merupakan kementerian pertama yang melaksanakan program CeIO secara "in house" bersama Maca yang melibatkan 57 pegawai kanan.

"Ini menunjukkan KPM komited dalam memartabatkan nilai integriti khususnya pada warga KPM. Program CeIO ini dilihat selari dengan visi dan misi KPM untuk membangunkan potensi individu bagi melahirkan insan terdidik," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.