- Iklan -
Berita

Suruhanjaya pakar perundangan global gesa Singapura henti gantung banduan, hukum peguam

Suruhanjaya Pakar Undang-Undang Antarabangsa berkata perintah kos yang bersifat punitif terhadap peguam banduan bilik akhir menghalang akses mereka kepada keadilan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan mengangkat plakad membantah hukuman mati ketika demonstrasi di Speakers' Corner, Singapura pada 3 April. Singapura mengundang kecaman antarabangsa kerana bertegas untuk meneruskan hukuman mati terhadap pesalah berkait dadah. Gambar: AFP
Penunjuk perasaan mengangkat plakad membantah hukuman mati ketika demonstrasi di Speakers' Corner, Singapura pada 3 April. Singapura mengundang kecaman antarabangsa kerana bertegas untuk meneruskan hukuman mati terhadap pesalah berkait dadah. Gambar: AFP

Suruhanjaya Pakar Undang-Undang Antarabangsa(ICJ) hari ini mengecam Singapura berikutan penggunaan hukuman mati bagi kesalahan dadah dan hukuman yang dikenakan terhadap peguam banduan bilik akhir, mengatakan perintah kos yang dikenakan terhadap pengamal undang-undang di negara itu menghalang akses banduan kepada keadilan dan hak untuk hidup dan dibicarakan secara adil.

Suruhanjaya yang berpangkalan di Geneva terdiri daripada hakim kanan, peguam dan ahli akademik itu menggesa republik itu supaya menghentikan secara serta-merta sebarang pelaksanaan hukuman mati dan menghentikan penalti terhadap peguam di negara itu.

"Ini adalah pencabulan hak asasi individu untuk mendapatkan wakil undang-undang pilihan mereka. Setiap manusia berhak mendapat layanan bermaruah, terutama bagi mereka yang berjuang untuk nyawa mereka," tambah Pesuruhjaya ICJ Ambiga Sreenevasan.

Kenyataan ICJ itu dikeluarkan beberapa hari selepas Singapura menghukum mati dua lagi banduan – Abdul Rahim Shapiee dan Ong Seow Ping – pada 5 Ogos lalu, menjadikan jumlah banduan yang digantung sampai mati di negara itu mencecah 10 orang dalam tempoh empat bulan.

Rahim merupakan salah seorang daripada 24 banduan yang memfailkan saman terhadap kerajaan berikutan tidak mendapat akses guaman bagi merayu hukuman berat yang dikenakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, mahkamah Singapura menolak saman itu pada 3 Ogos lalu, sehari selepas mereka diperintahkan untuk mengemukakan hujahan lanjut bagi menyokong kes walaupun tidak mempunyai peguam.

Ketiadaan peguam yang bersedia mewakili mereka menyebabkan ramai banduan bilik akhir terpaksa bersendirian membela diri dalam permohonan terakhir mereka  pada bulan lalu.

Dalam kes banduan warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum gantung pada 27 April lalu, ibunya sendiri terpaksa hadir ke mahkamah untuk mewakili Nagaenthran kerana gagal mendapatkan peguam yang sanggup mewakili anak lelakinya itu.

ICJ berkata mahkamah di Singapura mengenakan perintah kos yang bersifat punitif terhadap peguam  mewakili banduan bilik akhir kerana mereka memfailkan permohonan peringkat akhir bagi pihak anak guam mereka, "kononnya atas dasar permohonan tersebut adalah 'remeh, menyusahkan atau penyalahgunaan proses mahkamah’”.

Memetik satu keputusan Mahkamah Tinggi Singapura pada 23 Jun, ICJ turut berkata keputusan itu adalah berdasarkan "tafsiran yang terlalu luas dan tidak dibenarkan tentang apa yang dimaksudkan dengan 'kekurangan merit' atau 'penyalahgunaan proses mahkamah’”.

"Mengenakan perintah kos yang bersifat punitif berdasarkan bacaan yang terlalu luas dan tidak dibenarkan mengenai 'kekurangan merit' atau 'penyalahgunaan proses' adalah melanggar kedaulatan undang-undang dan piawaian antarabangsa mengenai kebebasan peguam, seperti Prinsip Asas PBB Mengenai Peranan Peguam, yang menyatakan peguam mesti dapat melaksanakan peranan profesional mereka tanpa sebarang intimidasi, halangan, ugutan atau campur tangan yang tidak wajar," katanya.

Badan itu turut menambah ICJ turut menentang hukuman mati dalam apa jua keadaan, mengatakan undang-undang antarabangsa dan piawaian mengenai penggunaan hukuman mati adalah jelas bahawa ia tidak sepatutnya dikenakan dalam sabitan kesalahan dadah.

"Kesalahan sebegini... tidak melibatkan ‘pembunuhan secara sengaja', yang merupakan nilai ambang undang-undang antarabangsa bagi sesuatu jenayah berat," tambahnya.

Sebelum ini, badan antarabangsa lain seperti Amnesty International dan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga turut menyertai suara aktivis dan peguam yang berkempen supaya hukuman mati dimansuhkan di negara itu.

“Daripada menjadi pencegah unik terhadap jenayah, pelaksanaan hukuman mati itu hanya menunjukkan betapa pihak berkuasa Singapura tidak menghiraukan hak asasi manusia dan hak untuk hidup," kata Amnesty pada 22 Julai.

Kerajaan Singapura sering membidas mereka yang mempersoalkan dasar hukuman matinya, walaupun statistik menunjukkan kebanyakan yang dihukum bunuh adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin.

Namun sebaliknya, kerajaan diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu tetap menegaskan hukuman mati yang dilaksanakannya berjaya menjadi pencegah jenayah dadah.

Sejak 30 Mac 2022, Singapura melaksanakan sepuluh hukuman gantung, di mana kesemuanya melibatkan banduan kesalahan berkait dadah. 

Hukuman itu mula dijalankan selepas menghentikan pelaksanaan hukuman selama dua tahun. 

Menurut maklumat yang diterima ICJ dari Transformative Justice Collective, sebuah kumpulan Singapura yang berkempen untuk memansuhkan hukuman mati, setakat ini lebih 50 orang masih kekal menunggu hukuman mati.

Di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, negara-negara yang masih belum memansuhkan hukuman mati hanya boleh menjalankan hukuman itu bagi "jenayah yang paling serius", melibatkan pembunuhan dengan niat membunuh. 

Undang-undang antarabangsa secara jelas menyatakan ia tidak boleh digunakan untuk kesalahan berkaitan dadah.

Dalam sebuah kenyataan pada 29 Julai 2022, kumpulan pakar bebas Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) menyatakan kebimbangan mengenai laporan “peningkatan tekanan dan tindakan intimidasi pihak berkuasa terhadap […] golongan profesional perundangan […] yang […] mewakili banduan bilik akhir, dan kesan dahsyat tindakan sedemikian terhadap ruang sivik,” katanya.

Di bawah Prinsip 16 Prinsip Asas PBB Mengenai Peranan Peguam, kerajaan mesti memastikan peguam “boleh melaksanakan semua peranan profesional mereka tanpa intimidasi, halangan, ugutan atau gangguan yang tidak wajar", dan "tidak boleh menangung keperitan, atau diancam dengan pendakwaan atau sekatan pentadbiran, ekonomi atau lain-lain sekatan bagi sebarang tindakan yang diambil mengikut tugas, piawaian dan etika profesional yang diiktiraf.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.