- Iklan -
Berita

Bekas pekerja kilang sarung tangan Malaysia saman syarikat AS berhubung dakwaan buruh paksa

Pekerja migran di syarikat Brightway menuduh Kimberly Clark dan Ansell secara sedar mengaut untung dari amalan buruh paksa.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja migran beratur dalam sebuah gambar fail. Sekumpulan bekas pekerja Brigthway menyaman dua syarikat AS Kimberly-Clark dan Ansell kerna mengaut untung daripada amalan buruh paksa.
Pekerja migran beratur dalam sebuah gambar fail. Sekumpulan bekas pekerja Brigthway menyaman dua syarikat AS Kimberly-Clark dan Ansell kerna mengaut untung daripada amalan buruh paksa.

Pekerja migran di kilang syarikat pembuatan sarung tangan Malaysia, Brightway Holdings memfailkan saman di AS terhadap Kimberly-Clark Corp dan Ansell Ltd, menuduh kedua-dua syarikat itu “secara sedar mengaut untung“ dengan menggunakan buruh paksa di syarikat pembekalnya, menurut dokumen yang dilihat Reuters.

Dalam saman yang difailkan pada Selasa di AS itu, 13 bekas pekerja menuntut ganti rugi daripada syarikat penjagaan diri AS Kimberly-Clark dan pembekal peralatan perlindungan peribadi Australia Ansell di Mahkamah Persekutuan Columbia.

Menurut saman tersebut, pekerja terpaksa membayar yuran pengambilan yang tinggi kepada orang tengah, selain perlu bekerja dalam syif panjang dengan sedikit tempoh atau tanpa sebarang rehat. 

Dokumen peribadi seperti pasport juga turut diambil oleh syarikat.

Saman itu mengatakan laporan awam mengenai Brightway dan pembuat sarung tangan Malaysia yang lain, dan pelanggaran yang ditemui oleh audit buruh yang dilaksanakan menjadi bukti bahawa kedua-dua syarikat itu mengetahui tentang dakwaan amalan buruh paksa oleh syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Kimberly-Clark tidak memberikan respons segera mengenai saman tersebut.

Ansell dan Brightway juga tidak memberikan sebarang ulasan.

"Syarikat-syarikat ini tidak boleh menafikan bahawa mereka sedar mengenai buruh paksa di Brightway," kata Terrence Collingsworth, seorang peguam dari Peguambela Hak Asasi Antarabangsa (IRC) yang mewakili pekerja.

Collingsworth berkata sebelum memfailkan tuntutan mahkamah itu, beliau mencadangkan supaya mediasi dilakukan dengan Kimberly-Clark dan Ansell bagi mendapatkan pampasan untuk pekerja, namun kedua-dua syarikat itu menolak.

AS melaksanakan sekatan terhadap produk Brightway pada Disember 2021 kerana disyaki mengamalkan buruh paksa, mengatakan ia mendapati wujud 10 dari 11 indikator Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai buruh paksa di kemudahan syarikat itu.

Dakwaan salah laku yang berlaku Brightway diketahui umum pada 2020.

Pada Disember 2020, pegawai penguat kuasa Malaysia mendapati pekerja Brightway diberi tempat tinggal dalam ruang kontena, di mana seorang menteri menyifatkan keadaan buruk itu sebagai "perhambaan moden".

Pada Mei 2021, Reuters melaporkan audit buruh Brightway telah memperincikan 61 pelanggaran piawaian etika global dan 50 pelanggaran undang-undang buruh Malaysia.

Namun panel audit menyimpulkan pihaknya tidak mendapati wujud amalan buruh paksa.

Ketika itu, Ansell memberitahu Reuters bahawa audit turut "mendedahkan beberapa ketidakpatuhan terhadap piawaian buruh."

Kedua-dua syarikat itu kemudiannya berkata Brightway telah menyelesaikan beberapa masalah tersebut sejak serbuan kerajaan pada Disember.

Pembeli produk Brightway seperti Kimberly-Clark dan Ansell menggunakan audit buruh bagi memantau rantaian bekalan mereka.