- Iklan -
Berita

Permintaan sewa rumah tinggi ketika inflasi, OPR meningkat

Pembeli rumah dijangka akan membuat keputusan secara berhati-hati, walaupun terdapat trend pembelian yang meningkat di beberapa sektor lain.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan kawasan perumahan di Seksyen 54 dan Jalan Utara di Petaling Jaya, Selangor.
Pemandangan kawasan perumahan di Seksyen 54 dan Jalan Utara di Petaling Jaya, Selangor.

Permintaan sewaan rumah kekal meningkat pada suku kedua 2022, mencatatkan peningkatan sebanyak 12.89% suku ke suku (QoQ) dan kenaikan sebanyak 96.83% bagi tahun ke tahun (YoY), dedah Property Guru Malaysia dalam Laporan Pasaran Hartanah Malaysia Bagi Suku Ketiga (Q3) 2022 hari ini.

Sementara itu, indeks harga sewaan turut meningkat sebanyak 2.82% QoQ dan 4.46% YoY pada suku kedua 2022, di mana menurut laman sesawang hartanah itu ia adalah satu perkembangan yang akan membawa kepada pertumbuhan dalam penawaran penyewaan hartanah apabila pemilik memanfaatkan trend meningkat permintaan dalam pasaran.

Memandangkan peningkatan kadar inflasi sebanyak 3.4% pada Jun dan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.25% pada awal tahun ini, laporan itu berkata bakal pembeli rumah mungkin akan membuat keputusan secara berhati-hati dalam pembelian hartanah.

"Dengan kadar inflasi yang meningkat dan kebimbangan kesan kenaikan kos pembelian, bakal pembeli rumah akan cenderung untuk menyewa rumah sebagai alternatif jangka pendek, dan pasaran sewa mungkin akan terus berkembang hingga separuh kedua tahun ini," katanya.

Laporan itu juga mencatatkan aliran menaik dalam beberapa sektor pasaran lain seperti indeks pasaran jualan hartanah, indeks permintaan dan indeks bekalan, merentasi kedua-dua sektor perumahan atas tanah atau bertingkat.

Bagi keseluruhan indeks permintaan, yang berada di wilayah negatif pada suku sebelumnya, menyaksikan peningkatan sebanyak 7.93% QoQ.

Menurut laporan itu juga, harga perumahan atas tanah mengatasi perumahan bertingkat, di mana indeks harga jualan perumahan atas tanah meningkat sebanyak 1.32% QoQ dan 5% YoY pada Q2 2022.

Dalam pada itu, ia berkata terdapat peningkatan sebanyak 1.91% QoQ dan 7.31% YoY dalam bekalan, menunjukkan ada sedikit peningkatan keyakinan sama ada di pihak pembeli dan penjual.

Ia selaras dengan laporan pasaran terkini yang diterbitkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada April lalu, mengatakan jumlah keseluruhan urus niaga hartanah meningkat sebanyak 1.5%.

Property Guru juga berkata pembukaan semula sempadan memulihkan prospek pengembangan pasaran dalam menarik pembeli asing.

"Seperti yang dijangkakan, pasaran hartanah pada suku kedua tahun ini menyaksikan trend secara beransur-ansur bertambah baik, walaupun ia mungkin belum pulih sepenuhnya," kata Pengurus Property Guru Sheldon Fernandez.

Beliau turut menambah faktor berterusan seperti kenaikan inflasi, peningkatan OPR dan isu kemampuan akan mempengaruhi keadaan pasaran. 

Justeru, katanya ia akan mengambil sedikit masa sebelum pengguna mulai yakin dalam membuat keputusan besar membeli hartanah.

“Kesan keseluruhan daripada faktor ini berkemungkinan besar akan dilihat dalam prestasi suku semasa," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.