- Iklan -
Berita

Sukar cari pekerjaan sepadan kelulusan, kata pemain industri

Mereka berkata jika masalah ini tidak ditangani, negara akan sukar mendapatkan pekerja berkemahiran tinggi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Kadar pengangguran di Malaysia adalah 4.9% pada Januari tahun lalu, ia menurun kepada 3.9% pada Mei tahun ini. Gambar: Bernama
Kadar pengangguran di Malaysia adalah 4.9% pada Januari tahun lalu, ia menurun kepada 3.9% pada Mei tahun ini. Gambar: Bernama

Pemain industri memberi amaran isu ketidakpadanan kerja dalam kalangan graduan tempatan boleh menjejaskan produktiviti dan mengakibatkan Malaysia sukar mencari tenaga kerja yang berkemahiran tinggi pada masa depan sekiranya perkara itu tidak ditangani. 

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata baru-baru ini masalah ketidakpadanan kerja merupakan masalah kritikal yang dihadapi golongan graduan generasi pertama. 

Graduan generasi pertama merujuk kepada mereka yang pertama dalam kalangan ahli keluarga menamatkan pendidikan tinggi. 

Pada sidang Parlimen baru-baru ini, Saravanan berkata kerajaan sedang berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, terutamanya graduan generasi pertama, bagi memastikan mereka memilih bidang pengajian yang mempunyai peluang pekerjaan.

Shahryn Azmi, pengasas MakeTimePay, sebuah portal pekerjaan gig tempatan melihat beberapa masalah berhubung ketidakpadanan ini. 

Katanya, isu pertama ialah mentaliti bahawa apa yang dipelajari graduan di universiti boleh memanfaatkan graduan tersebut sepanjang hayat. 

"Keputusan meneruskan pengajian bidang-bidang tertentu dibuat beberapa tahun lalu.

"Apabila mereka tamat pengajian, mereka diberitahu bahawa kursus yang dipelajari dan kelayakan mereka mereka tidak sesuai dan tidak boleh mendapatkan mereka pekerjaan," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, sekiranya pengajian tinggi hanya diteruskan untuk mencari pekerjaan, maka idea pendidikan itu perlu dibuang dan digantikan dengan latihan semata-mata. 

Menurut seorang akauntan profesional, Farid Affandi, ketika ini pasaran kerja tidak mampu menampung jumlah graduan yang keluar universiti setiap tahun. 

"Ekonomi negara menghasilkan 98,000 pekerjaan baru setiap tahun tetapi universiti kita menjana 175,000 graduan baru setiap tahun. Ini bermakna bahawa 30,000 graduan tidak dapat mencari pekerjaan enam bulan selepas tamat pengajian," katanya. 

Situasi itu menjadi masalah besar memandangkan negara memerlukan tenaga kerja bagi sektor industri kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi negara dengan 38.2% sumbangan terhadap keluaran dalam negara kasar. 

IKS juga menggajikan hampir separuh iaitu 48% tenaga kerja Malaysia. 

Tambah Farid, IKS memerlukan golongan belia yang berkemahiran dan berpengetahuan yang boleh digajikan atau menubuhkan syarikat kecil mereka sendiri.

Sebagai rekod, kadar pengangguran negara dicatatkan pada 4.9% pada Januari tahun lalu, tertinggi dalam sejarah sebelum turun kepada 3.9% pada Mei tahun ini.

Bagaimanapun, peratusan itu masih berada di atas tahap pengangguran pra pandemik, iaitu 3.2%.

Farid yang juga felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menambah, golongan itu membentuk tenaga kerja gig sepenuh masa seperti penghantar makanan dan pemandu e-hailing. 

"Ia memberi mereka fleksibiliti bekerja kerana purata gaji yang ditawarkan dalam pasaran ialah RM2,000 atau kurang, tidak menarik minat mereka," tambahnya. 

Bagi Farid, kerajaan perlu menumpu usaha merancakkan ekonomi bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menaikkan gaji minimum. 

Dalam pada itu, Shahryn menambah, idea memadankan graduan dengan peluang juga dilihat bermasalah.

Ini kerana peluang pekerjaan berubah mengikut masa. 

Permintaan tinggi untuk satu-satu kemahiran dan satu-satu industri tidak akan sama pada masa depan.

"Pembuat polisi melihat keperluan dalam beberapa industri dan memberi reaksi dengan menggunakan sumber kepada slot-slot itu. 

"Sebaik sahaja terdapat sejumlah kekosongan daripada industri lain, kita berdepan masalah cuba untuk menentukan jumlah dan jenis kemahiran yang diperlukan untuk industri baru ini serta berapa pekerja yang harus dihasilkan menerusi 'skilling'." 

Mentaliti sempit majikan dalam mengambil pekerja juga perlu berubah. 

Tambah Shahryn, ramai majikan yang percaya graduan bidang matematik contohnya, hanya layak menjadi guru. 

Mereka lebih gemar mengambil graduan daripada bidang perniagaan dan kewangan. 

"Pengurus yang mengambil pekerja tidak diberikan ruang secukupnya dan mereka diberitahu untuk tidak mengambil graduan yang bukan daripada bidang perniagaan padahal bakat yang terbaik mungkin datang daripada bidang lain kerana mereka melengkapkan staf sedia ada," tambahnya.

Tegasnya, graduan generasi pertama wajar meneruskan pengajian dalam apa-apa bidang yang diminati untuk mereka menjadi yang terbaik. 

Individu yang dipaksa meneruskan pengajian dalam bidang yang tidak diminati hanya akan merugikan individu tersebut, ekonomi dan negara. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.